GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) menangguhkan semua urusan berkaitan operasi haji bagi musim haji tahun ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, keputusan itu selaras dengan ketetapan kerajaan Arab Saudi bahawa tiada jemaah negara luar termasuk Malaysia yang akan dibenarkan ke Tanah Suci untuk menunaikan haji atas faktor keselamatan dan kesihatan.

Menurutnya, walaupun TH sudah bersedia dan membuat perancangan operasi haji sehingga ke saat akhir namun akur dengan keputusan Arab Saudi dan kerajaan Malaysia.

"Keputusan penangguhan pemergian jemaah haji Malaysia tahun ini menunjukkan keprihatinan kerajaan Arab Saudi yang mengambil berat aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan umat Islam seluruh dunia ekoran penularan wabak Covid-19.

"TH berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang sentiasa memberi kerjasama baik kepada Malaysia dan amat prihatin dalam urusan ibadat haji jemaah negara ini," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengumumkan

kerajaan Arab Saudi memutuskan ibadah haji bagi musim haji tahun ini dihadkan hanya untuk warganegara Saudi dan penduduk negara lain yang berada dalam negara itu saja.

Ini berikutan situasi semasa pandemik Covid-19 yang membimbangkan di seluruh dunia.

Bagi rakyat Malaysia yang bermastautin di Arab Saudi, mereka boleh memohon melalui Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi untuk menunaikan haji tahun ini tertakluk kepada kriteria pemilihan dan prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

Amrin berkata, TH juga menyokong sepenuhnya keputusan yang diambil Kerajaan Malaysia dalam usaha membendung penularan jangkitan Covid-19 sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang lalu.

"Bagi bakal haji yang diperuntukkan giliran haji mereka pada tahun 2020 dan sudah diberi keutamaan sebelum ini untuk menunaikan haji pada tahun ini akan diberi keutamaan untuk menunaikan fardu haji pada tahun 2022.

"Bagi bakal haji yang gilirannya pula adalah pada tahun ini 2021 akan turut diberi peluang pada 2022 tertakluk kepada kekosongan kuota tahun semasa," katanya.

Beliau berkata, TH menasihati umat Islam di Malaysia untuk tidak terpengaruh dengan mana- mana pihak yang menawarkan pakej haji dan badal haji bagi tahun ini.

Katanya, bakal haji dimohon untuk bersabar dan menerima keputusan ini dengan reda serta terus berdoa agar keadaan kembali pulih bagi membolehkan urusan haji diteruskan pada musim hadapan.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 12:36 PM