FOTO NSTP
FOTO NSTP
Aizat Sharif


KERAJAAN Arab Saudi dilihat sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dalam menghadapi setiap cubaan serangan pengganas termasuk serangan peluru berpandu pengganas Houthi Yemen ke atas kota Makkah ketika menjelangnya musim haji ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pihaknya menghargai setiap usaha yang dijalankan oleh kerajaan Arab Saudi dalam memastikan keselamatan jemaah haji dari seluruh dunia dalam memastikan mereka dapat melakukan ibadah haji.

“Walaupun terdapat pihak yang cuba menggugat keselamatan negara Arab Saudi, kita yakin pihak keselamatan negara itu mampu menanganinya dengan berkesan malah keselamatan jemaah haji terutama dari Malaysia sentiasa dipantau oleh pihak kita (Tabung Haji) dan usaha kerajaan Arab Saudi yang sentiasa memastikan keselamatan jemaah haji berada dalam keadaan baik dan sempurna sangat dihargai.

“Malah, usaha mereka ini dapat dilihat bukan sahaja ketika menangkis cubaan serangan pengganas ini (Houthi Yemen) tetapi ketika berlakunya peristiwa runtuhan kren di Makkah dan rempuhan jemaah haji di Mina pada 2015 yang meragut banyak nyawa jemaah haji termasuk dari Malaysia

“Oleh hal demikian, keluarga jemaah haji dan jemaah haji yang berada disana tidak perlu bimbang dan teruskan dengan melakukan ibdadah mereka disana,” katanya.

Beliau demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian ‘D’Guar Food Truck Corner’ di Dataran MARA Guar Chempedak, Yan, hari ini.

Beliau berkata, sehingga hari ini jemaah haji Malaysia yang berada di sana berada dalam keadaan sihat dan sentiasa berdisiplin dalam mematuhi segala arahan yang diberikan oleh petugas Tabung Haji.

“Namun begitu, kita berharap agar jemaah haji kita disana tidak terbabit dengan sebarang perkara yang mampu mejejaskan tujuan ibadah haji mereka termasuklah menerusi perbincangan politik dan soal keselamatan negara kita dan juga negara lain.

“Malah, diharapkan juga mereka sentiasa menjaga sentiviti orang lain kerana mereka akan berkumpul dengan jutaan jemaah haji dari negara lain yang mempunyai berlainan bahasa dan budaya namun disatukan dalam satu akidah agama Islam,” katanya.

Pada Khamis lalu, pasukan keselamatan Arab Saudi berjaya memintas sebuah peluru berpandu balistik dikenali sebagai ‘Burkan-1’ yang disasarkan 69 kilometer dari Makkah di kawasan Al-Wasliya di Wilayah Yaif.

Cubaan serangan pengganas itu dipercayai dilakukan oleh pengganas dari puak Houthi Yaman namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat serangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2017 @ 4:06 PM