GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Samadi Ahmad


Putrajaya: Jemaah haji Malaysia yang terkandas di Makkah perlu membuat laporan rasmi kepada Lembaga Tabung Haji (TH) dan Kedutaan Malaysia di Jeddah, Arab Saudi dengan segera bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, TH akan bekerjasama dengan Kedutaan Malaysia di Arab Saudi bagi membuat siasatan berdasarkan maklumat terperinci daripada jemaah haji yang terkandas akibat terpedaya dengan tawaran pakej terbabit.

Katanya, TH menasihatkan semua jemaah umrah yang masih berada di Tanah Suci Makkah untuk akur dan mematuhi peraturan ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi kerana ibadah umrah akan ditutup pada 15 Mei 2024 bagi persediaan musim haji.

"Peraturan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Arab Saudi dan TH adalah untuk menjaga kebajikan dan keselamatan jemaah haji ketika musim haji," katanya melalui kenyataan hari ini.

Saranan TH kepada jemaah haji yang terkandas itu merujuk kepada kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar mengenai 300 bakal haji yang terkandas di Makkah akibat terpedaya dengan pakej haji visa pelancong.

Terdahulu media melaporkan, 300 bakal haji yang kini berada di Makkah berdepan situasi kebingungan selepas agensi pengurusan menggunakan visa pelancong.

Perkara itu dikongsi menerusi hantaran di Facebook oleh seorang individu menerusi Forum Umrah DIY selepas dihubungi rakannya yang meminta bantuan bagi menyelesaikan masalah dihadapi mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2024 @ 3:28 PM