PENGHUNI ditemu ramah ketika majlis sambutan Hari Ibu dan Bapa di Penjara Wanita Kajang, semalam.
PENGHUNI ditemu ramah ketika majlis sambutan Hari Ibu dan Bapa di Penjara Wanita Kajang, semalam.
Hidayatul Akmal Ahmad


KAJANG: “Ustaz di sebuah pusat perubatan Islam pernah berkata, saya tiada harapan untuk sembuh disebabkan keadaan gangguan jiwa yang dialami sangat teruk waktu itu.”

Demikian pengakuan banduan wanita di Penjara Wanita Kajang, di sini, yang hanya dikenali sebagai Ros (bukan nama sebenar) mengenai episod hitam yang berlaku dalam hidupnya.

Wanita berusia 31 tahun itu menjalani hukuman penjara enam tahun selepas didapati bersalah melakukan pecah amanah wang milik syarikat berjumlah RM92,000 di Johor Bahru pada 2013.

Mengimbau kembali, Ros yang juga bekas pengurus jualan berkata, dia yang cuti bersalin selepas melahirkan anak pertama tiba-tiba didakwa pecah amanah oleh majikannya.

Menurutnya, sebaik mendapat perkhabaran itu dia mengalami tekanan perasaan kerana tidak menyangka dituduh sebegitu.

“Ketika itu fikiran saya terganggu dan tidak mampu menguruskan diri serta anak selepas majikan memberi kata dua sama ada mahu membayar ganti rugi RM150,000 atau berdepan tindakan undang-undang.

“Siapa yang mampu menyediakan wang sebanyak itu dalam tempoh singkat. Disebabkan terlalu memikirkan, saya nampak daun pokok belimbing di sekitar rumah seperti duit.

“Suami banyak berkorban kerana puas berikhtiar menyembuhkan saya termasuk dibawa berubat selama setahun di pusat rawatan Islam,” katanya.

Ros yang juga ibu kepada empat anak berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Ibu dan Bapa di Penjara Wanita Kajang, di sini, semalam.

Menurutnya, dia mengaku tidak bersalah apabila dihadapkan ke mahkamah, tetapi kalah di peringkat akhir pendakwaan kerana gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes prima facie.

“Saya membuat rayuan hingga ke Mahkamah Rayuan di Putrajaya, tetapi gagal dan akhirnya saya akur dengan hukuman penjara ini.

“Saya reda dengan ujian ini selepas setahun menghuni penjara serta bersyukur kerana suami tidak pernah putus memberi sokongan dan melawat setiap bulan meskipun dia jauh di Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Penjara Wanita Kajang, Kesumawati Ilias berkata, program diadakan bagi mengenang pengorbanan dan perjuangan ibu bapa dalam sesebuah institusi keluarga harmoni.

“Kasih sayang ibu bapa tidak ternilai. Biarpun pelbagai panggilan, namun tidak sesekali membezakan peranan mereka dalam memikul amanah dan tanggungjawab kepada keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 6:30 AM