GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hidayatul Akmal Ahmad


JABATAN Penjara Malaysia menafikan dakwaan kononnya seorang banduan akhir dipukul ketika tidur dan dilarang membuat laporan polis minggu lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar berkata, banduan terbabit sebaliknya bertindak agresif ketika pemeriksaan rutin oleh pegawai penjara dan didapati memiliki barang terlarang tembakau seberat 163 gram.

“Mana boleh lari dalam penjara. Isu sebenar banduan itu memiliki artikel larangan, tembakau. Jadi pegawai kita membuat pemeriksaan .

“Tetapi banduan berkenaan menghalang tugas pegawai penjara daripada merampas bahan terlarang berkenaan. Jadi ada berlaku sedikit pergelutan dan perselisihan faham,” katanya kepada media selepas merasmikan Konvensyen Psikologi di Ibu Pejabat Penjara Malaysia (IPPM) di Kajang, semalam.

Menurutnya, jabatan penjara turut menafikan banduan berkenaan dilarang membuat laporan polis seperti didakwa di media sosial.

“Kejadian itu berlaku pada 2 Oktober lalu. Awalnya banduan berkenaan enggan membuat laporan polis, namun dua hari selepas kejadian, dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh dan kini masih dalam siasatan pihak polis,” katanya.

Minggu lalu tular di media sosial seorang wanita mendakwa banduan akhir dipukul ketika tidur serta dilarang membuat laporan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 3:31 PM