ANGGOTA polis dan orang ramai melakukan pemeriksaan pada motosikal dinaiki Muhammad Azam yang remuk selepas bertembung dengan bas ekspres. FOTO Ramli Ibrahim
ANGGOTA polis dan orang ramai melakukan pemeriksaan pada motosikal dinaiki Muhammad Azam yang remuk selepas bertembung dengan bas ekspres. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


LELAKI maut apabila motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya terbabas sebelum merempuh sebuah bas ekspres di Kilometer 68, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi, mangsa, Muhammad Azam Shafie Salleh, 26, cedera parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia sebaik mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Krai (HKK).

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, sebelum kejadian, mangsa menunggang motosikal jenis Kawasaki Z800 dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai.

Beliau berkata, sebaik tiba di kawasan selekoh, motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan.

“Berikutan itu, motosikal mangsa merempuh tepi bahagian pemandu sebuah bas ekspres yang datang dari arah Kuala Krai menghala ke Gua Musang.

“Kemalangan itu menyebabkan mangsa tercampak ke dalam longkang di sebelah kiri jalan,” katanya.

Mohd Taufik berkata, mangsa yang cedera parah di kepala dan badan kemudian dikejarkan ke HKK dan meninggal dunia sebaik menerima rawatan kecemasan.

“Kemalangan maut ini adalah kes pertama berlaku pada bulan Ramadan di daerah ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 2:55 PM