KERETA Honda CRV yang dipandu mangsa jatuh ke dalam parit selepas bertembung dengan bas ekspres Perdana dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 33 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat FELDA Chiku 2, Gua Musang. FOTO Ihsan Pembaca
KERETA Honda CRV yang dipandu mangsa jatuh ke dalam parit selepas bertembung dengan bas ekspres Perdana dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 33 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat FELDA Chiku 2, Gua Musang. FOTO Ihsan Pembaca
Ramli Ibrahim

KOPERAL maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 33 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat FELDA Chiku 2, di Gua Musang, tengah malam tadi.

Kejadian 12.38 tengah malam itu menyebabkan mangsa, Wahi Anuwar Ibrahim, 51, yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV tercampak keluar dari kenderaannya selepas terbabas ke dalam parit.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, mangsa terkejut dengan sebuah lori rosak yang diletakkan di tepi jalan lalu cuba memotongnya.

“Sebaik melepasi lori itu, kenderaannya hilang kawalan kerana jalan licin dan basah ekoran baru lepas hujan menyebabkan keretanya berpusing memasuki laluan bertentangan.

“Berikutan itu, kereta mangsa bertembung dengan bas ekspres Perdana yang datang dari arah bertentangan menyebabkan kereta itu terjatuh dalam parit.

“Mangsa tercampak keluar daripada kenderaan menyebabkannya meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di kepala dan badan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Taufik berkata, pemandu bas ekspres, Mohd Azli Hassan, 40, bersama penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya pagi ini untuk dikebumikan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu lori yang tidak dapat dikesan itu diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang untuk siasatan lanjut.

“Kita menasihatkan pengguna jalan Gua Musang-Kuala Krai, Kuala Lipis dan Lojing supaya berhati-hati di musim hujan kerana permukaan jalan licin dan mudah berdepan risiko kemalangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Disember 2019 @ 12:39 PM