FOTO Ramli Ibrahim
FOTO Ramli Ibrahim
Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Dua penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) maut manakala dua lagi parah apabila kereta Perodua Myvi yang dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh tiang elektrik di Kilometer 10.5 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 3.55 pagi itu, Wan Ameerul Idris Wan Mohamed Rizal, 19, pemandu Myvi berasal dari Kota Bharu dan penumpang hadapan, Muhamad Johan Ahdza Ismail, 19, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Manakala, dua lagi yang parah penumpang belakang, Akhram Mohd Azmi, 20, berasal Kampung Timor, Jeli di kejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) dan Muhammad Kamarul Amri, 19, di kejarkan ke Hospital Kuala Krai (HKK).

Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, ketika kejadian mereka dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Lumpur.

Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian pemandu kereta terbabit dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar tiang elektrik.

"Kesemua mangsa tersepit di dalam kereta terbabit sebelum dua daripada mereka meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala dan badan.

“Anggota bomba terpaksa dipanggil bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 1:37 PM