BERUANG anjing yang terperangkap dalam sangkar besi dipasang PERHILITAN sebelum berjaya melepaskan diri di Kampung Jambu Bongkok, Marang, petang semalam. FOTO Rosli Ilham.
BERUANG anjing yang terperangkap dalam sangkar besi dipasang PERHILITAN sebelum berjaya melepaskan diri di Kampung Jambu Bongkok, Marang, petang semalam. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


PENDUDUK di Kampung Jambu Bongkok, Marang, ketakutan selepas seekor beruang anjing yang terperangkap dalam sangkar besi dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu berjaya melepaskan diri, semalam.

Sebelum itu, beruang anjing seberat 100 kilogram itu masuk ke dalam perangkap besi dipasang menggunakan burung merpati sebagai umpan pada 5 petang .

Penduduk, Mohd Hafizi Khamis, 30, berkata, beruang anjing itu masuk ke dalam perangkap kerana tertarik dengan umpan digunakan sebelum penduduk kampung ke lokasi kejadian untuk melihatnya.

“Bagaimanapun, ia bertindak agresif apabila menggoncang perangkap itu selain turut menggigit dan menarik besi perangkap sehingga tercabut satu demi satu.

“Melihat kejadian itu, penduduk melarikan diri dan beruang itu melepaskan diri pada 6.30 petang,” katanya.

Mohd Hafizi berkata, sebelum ini, penduduk kampung bimbang dengan kemunculan haiwan itu yang dipercayai masuk ke kawasan penempatan penduduk untuk mencari makanan sejak sebulan lalu sebelum mereka melaporkannya kepada PERHILITAN.

“Dalam tempoh itu, banyak ayam milik penduduk kampung hilang dan dipercayai dimakan beruang itu.

“Biarpun kehadiran beruang itu tidak mendatangkan kecederaan kepada penduduk setakat ini, kami tetap bimbang keselamatan kami,” katanya.

Rakannya, Mohd Rosli Yusoff, 34, berkata, dia pernah terserempak dengan haiwan itu minggu lalu ketika membaja pokok getah selepas beruang itu tiba-tiba berada di depannya pada jarak kira-kira 50 meter.

“Saya sangat takut dan menghidupkan enjin motosikal dengan kuat supaya ia beredar, namun beruang itu hanya memandang ke arah saya sebelum saya memecut motosikal dan pulang ke rumah.

“Saya harap supaya PERHILITAN dapat memasang perangkap lebih kuat supaya beruang itu gagal melepaskan diri selepas ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 8:08 PM