LAPORAN Harian Metro semalam
LAPORAN Harian Metro semalam
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menjalankan pemantauan dan kawalan di kawasan perkampungan Orang Asli di Pos Bihai susulan dua harimau belang berkeliaran di situ serta mengakibatkan kematian.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, dua perangkap yang dilengkapi kamera turut dipasang di Kampung Tendrik dan Kampung Hak, Pos Bihai.

Menurutnya, sehingga hari ini pihaknya masih belum dapat mengenal pasti identiti dua harimau belang yang berkeliaran di Kampung Remau, Pos Bihai pada Disember lalu.

"Sudah hampir sebulan kami memasang perangkap, namun ia belum berhasil dan haiwan ini tidak masuk perangkap yang dipasang Perhilitan biarpun sudah diumpan dengan kambing.

"Kebimbangan semakin memuncak apabila salah seorang mereka ditemukan maut akibat dibaham harimau ketika berada di belakang rumahnya.

"Kami sangat berharap kedua-dua harimau belang yang diburu ini dapat ditangkap segera sekali gus melegakan penduduk kampung," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan, seorang lelaki Orang Asli berusia 59 tahun diserang harimau ketika membuang air kecil di belakang rumahnya sekitar jam 9 pagi di Kampung Sau, Pos Bihai, petang semalam.

Anak perempuan mangsa yang sedang menumbuk padi mengesyaki sesuatu berlaku terhadap ayahnya selepas terdengar bunyi anjing menyalak kuat.

Penduduk kampung kemudian pergi memeriksa di belakang rumah mangsa sebelum menemui kesan darah.

Mohamad Hafid berkata, harimau belang yang ditembak mati oleh kakitangan Perhilitan pada petang semalam masih belum dipastikan sama ada ia adalah dua harimau yang diburu sebelum ini.

"Kebiasaannya binatang buas ini akan melarikan diri apabila terserempak dengan manusia, namun pihak kami bimbang haiwan ini akan bertindak sebaliknya sekiranya diganggu.

"Kita meminta penduduk yang menemui harimau itu segera menghubungi kami supaya tindakan cepat dapat diambil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 12:27 PM