Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Berang: Gangguan kera liar yang dialami penduduk Kampung Belukar Bukit dan Kampung Betong dan sekitarnya kini dalam perhatian Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu.

Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, Perhilitan mengambil maklum aduan mengenai gangguan itu yang semakin meruncing dan sudah memasang perangkap di kawasan berisiko tinggi.

Katanya, faktor geografi kampung yang berhampiran hutan menjadi antara punca kera liar mendekati populasi penduduk untuk mencari makanan.

"Buat masa ini, tindakan yang diambil pihak kami adalah menyediakan perangkap dan ada yang diberi kepada penduduk untuk dipasang di kawasan yang sesuai, sering diceroboh hidupan liar ini.

PENDUDUK, Mat Nasir Mat Ghani, 45,   melihat seekor kera liar yang masuk ke dalam perangkap yang dipasang Perhilitan di Kampung Belukar Bukit. FOTO NAZDY HARUN
PENDUDUK, Mat Nasir Mat Ghani, 45, melihat seekor kera liar yang masuk ke dalam perangkap yang dipasang Perhilitan di Kampung Belukar Bukit. FOTO NAZDY HARUN

"Kami juga meminta kerjasama penduduk untuk meletakkan umpan ke dalam perangkap agar dapat menarik perhatian kera. Penduduk diajar cara memasang perangkap dan umpan ini supaya fungsinya tercapai," katanya ketika dihubungi.

Loo berkata, pihaknya juga meneliti kaedah lain untuk mengatasi lambakan kera di kawasan berkenaan dan mengganggu populasi penduduk.

Katanya, tindakan pencegahan yang akan diambil kelak berdasarkan undang-undang termasuk Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Beliau menasihati penduduk agar tidak mengambil tindakan sendiri dalam menyelesaikan masalah gangguan kera liar di kampung itu kerana mereka berisiko diserang dan mendapat kecederaan.

"Jika bertembung dengan kera liar, jangan lakukan provokasi atau cubaan untuk mengancam haiwan ini kerana dibimbangi ia akan bertindak agresif dan menyerang penduduk.

"Penduduk juga dinasihatkan supaya memastikan kawasan rumah atau kebun sentiasa bersih bagi mengelak spesis ini tertarik ke kawasan berkenaan," katanya.

Loo berharap penduduk kampung bersabar menghadapi permasalahan berkenaan dan langkah awal sudah diambil untuk mengelak krisis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 6:30 AM