Kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kuala Terengganu sedang memasang perangkap untuk menangkap beruang matahari yang berkeliaran di kawasan kebun penduduk di Kampung Pengkalan Berangan. FOTO IHSAN PEMBACA
Kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kuala Terengganu sedang memasang perangkap untuk menangkap beruang matahari yang berkeliaran di kawasan kebun penduduk di Kampung Pengkalan Berangan. FOTO IHSAN PEMBACA
Ahmad Rabiul Zulkifli


Marang: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memasang perangkap bagi menangkap beruang matahari yang berkeliaran di Kampung Pengkalan Berangan, di sini, petang hari ini.

Harian Metro melaporkan seorang warga emas berusia 63 tahun terserempak seekor beruang matahari ketika menguruskan tanaman di kebunnya di kampung berkenaan, kelmarin.

Pengarah Perhilitan Terengganu Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, pihaknya sudah memasang perangkap yang bersesuaian bagi menangkap beruang matahari itu.

Katanya, dua jenis umpan iaitu madu dan umbuk kelapa digunakan untuk menarik minat beruang itu masuk ke dalam perangkap.

"Berdasarkan pengalaman kami, beruang itu berjaya ditangkap dalam tempoh yang singkat sahaja dengan syarat kawasan itu memang menjadi tempat ia berkeliaran mencari makanan.

"Sebelum ini hanya dalam tempoh sehari sahaja dua ekor beruang jenis yang sama memasuki perangkap yang dipasang Perhilitan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Abdul Malek berkata, beruang yang jinak itu perlu ditangkap segera supaya ia tidak mendatangkan bahaya kepada penduduk setempat.

"Biasanya beruang itu akan beredar dan tidak menyerang jika terserempak dengan manusia, melainkan jika beruang itu mempunyai anak atau penduduk memberi ancaman kepada beruang itu terlebih dahulu seperti menyergahnya," katanya.

Menurutnya, dia berharap penduduk tidak mengambil tindakan sendiri dalam menangani masalah haiwan liar itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 5:38 PM