DOAN dikawal anggota polis ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.
DOAN dikawal anggota polis ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.
HM Digital

Shah Alam: Mahkamah Tinggi semalam, diberitahu wanita warga Vietnam, Doan Thi Huong yang dituduh membunuh Kim Chol atau Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara, diperkenalkan oleh bekas rakan sekerjanya kepada seorang lelaki yang sedang mencari pelakon filem wanita pada Disember 2016, dua bulan sebelum Kim Chol mati disapu racun VX.

Perkara itu dimaklumkan peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Doan, ketika membacakan keterangan afidavit dan akuan bersumpah oleh Nguyen Bich Thuy, iaitu bekas rakan sekerja Doan di Seventeen Bar, Hanoi, Vietnam, daripada 2014 hingga Mei 2016.

Melalui akuan bersumpah, Nguyen memberitahu dia memperkenalkan Doan kepada seorang lelaki kacukan Korea dan Vietnam yang dikenali sebagai ‘Li’, pada 27 Disember 2016.

“Lelaki itu memberitahu dia datang ke Vietnam untuk mencari pelakon wanita dan bertanya sama ada saya berminat untuk berlakon dalam filemnya. Saya bagaimanapun menolak tawaran itu memandangkan sudah berkeluarga dan mempunyai anak kecil.

“Saya kemudian teringat Doan yang gemar berlakon dan cuba mendapatkan nombor telefonnya daripada seorang rakan sebelum menghubungi dan memaklumkan perkara itu kepadanya,” katanya.

Melalui akuan bersumpah itu lagi, Nguyen turut memberitahu dia juga ada terdengar perbualan antara Li dan Doan, di mana Li menyuruh wanita itu berpakaian cantik dan berjalan di hadapan seseorang sebelum menuang cecair ke atas kepala individu berkenaan.

“Li memberitahu Doan, dia tidak perlu mempunyai kemahiran tinggi namun diminta untuk pergi ke beberapa negara antaranya Laos, Thailand, Korea dan Malaysia untuk membuat filem berkenaan. Li juga memberitahu akan mendapatkan visa untuk Doan, selain berpeluang melancong secara percuma dan menerima gaji bulanan,” katanya.

Kesemua perkara itu dipersetujui oleh Pegawai Penyiasat ASP Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz pada hari ke-32 perbicaraan kes pembunuhan Kim Chol.

Siti Aisyah, 26, warga Indonesia dan Doan Thi Huong, 29, didakwa bersama empat lagi yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), jam 9 pagi, pada 13 Feb 2017.

Saksi kesembilan itu juga bersetuju Doan melakukan ‘prank’ (gurauan) pertama di Hanoi dengan cuba memberi ciuman mengejut kepada seorang lelaki berusia 45 tahun pada Disember 2016.

Wan Azirul Nizam: Ya saya setuju berdasarkan percakapan tertuduh.

Hisyam: Adakah kamu sanggup pergi ke Vietnam untuk menemuduga rakan wanita Doan iaitu Nguyen yang merupakan saksi penting dalam kes ini?

Wan Azirul Nizam: Saya sanggup pergi ke Vietnam jika saya mendapat arahan daripada pucuk kepimpinan Polis Diraja Malaysia dan pihak pendakwaan.

Hisyam: Kegagalan kamu menyiasat Nguyen memprejudiskan pembelaan Doan?

Wan Azirul Nizam : Tidak setuju.

Saksi itu juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam berkenaan bahawa kematian Kim Chol adalah ‘pembunuhan bersifat politik’.

Perbicaraan di depan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung hari ini. -BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 8:47 AM