BEKAS Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan menyiram air mawar keatas pusara isterinya Allahyarham Puan Sri Juriah Ahmad sambil diperhatikan ahli keluarga di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara. FOTO Rosdan Wahid
BEKAS Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan menyiram air mawar keatas pusara isterinya Allahyarham Puan Sri Juriah Ahmad sambil diperhatikan ahli keluarga di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara. FOTO Rosdan Wahid
Hidayatul Akmal Ahmad


“MAK pergi dalam keadaan sangat tenang dan mudah, ” kata Mohd Rashid Azhari Musa, 47.

Rashid Azhari adalah anak sulung Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan arwah Juriah Ahmad yang meninggal dunia akibat strok.

Rashid berkata, ibunya tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan sebelum ini.

“Selasa lalu, arwah tiba-tiba jatuh ketika hendak mengambil wuduk untuk menunaikan solat Zohor di rumah ini.

“Selepas dua jam, baru pembantu rumah kami menemui mak. Kami bawa mak ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), pakar perubatan meminta kebenaran untuk melakukan pembedahan pada bahagian kepala.

“Menurut doktor yang merawat, terdapat kesan darah beku pada otaknya membuatkan bahagian kepala membengkak.

“Bagaimanapun, kami sekeluarga membuat keputusan untuk tidak melakukan pembedahan yang berisiko itu dan membawa arwah mak pulang,” katanya yang ditemui selepas majlis pengebumian ibunya di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di Kuala Lumpur.

Menurut Rashid, sebelum arwah ibunya ditemui terjatuh, ibunya sempat pergi ke pasar bersama-sama bapanya.

“Pagi itu, mak sempat ke pasar seperti biasa dengan ayah membeli barang-barang tanpa menunjukkan apa-apa petanda.

“Cuma mak seperti sudah tahu dia mahu pergi apabila menyediakan sendiri kelengkapan kafan di rumah serta baldi,” katanya.

Juriah, 73, meninggalkan empat anak dan sembilan cucu.

Allahyarham sebelum ini pernah menjadi Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) ketika Musa memegang jawatan Ketua Polis Negara pada 2006 hingga 2010.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Berita berkaitan

Isteri Musa Hassan meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 1:32 PM