Rashid akui bukan mudah hasilkan filem Islamik. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD
Rashid akui bukan mudah hasilkan filem Islamik. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD
Ridzuan Abdul Rahman


PENGARAH terkenal, Rashid Sibir meluahkan kebimbangan dengan trend penonton televisyen sekarang yang kurang menggemari genre Islamik dan pengajaran.

Rashid berkata, drama episod berjudul Tok Adi terbitan dan arahannya yang sedang ditayangkan di stesen Astro Oasis turut terkena tempiasnya sedangkan ia membariskan barisan pelakon mantap sering tampil dalam drama tempatan.

“Tok Adi sudah ditayangkan lebih daripada tujuh episod dan rating yang diperlihatkan sangat mengecewakan. Ini menimbulkan persoalan apakah drama berunsur Islamik kurang mendapat tempat di hati peminat drama tempatan?

“Kalau dilihat, Tok Adi sebenarnya spin off daripada siri Tanah Kubur yang sangat popular dalam kalangan peminat. Bahkan barisan pelakonnya juga mantap iaitu Nasir Bilal Khan, Izzue Islam, Johan As'ari, Saharul Ridzwan dan ramai lagi. Jadi, apa lagi kekurangan drama ini?,” katanya kepada Harian Metro.

Rashid yang aktif menghasilkan pelbagai drama mengakui, perkembangan di laman sosial berkenaan Tok Adi juga tidak menggalakkan berbanding tweet yang banyak diperlihatkan peminat terhadap drama genre cinta.

“Secara peribadi, saya berpendapat peminat patut beri sambutan positif terhadap genre Islamik sama seperti drama-drama cinta yang boleh mencecah rating 2 hingga 3 juta penonton.

“Masyarakat harus sedar bahawa drama-drama bercorak Islamik ini ada roh tersendiri dan bawa mesej murni yang membentuk masyarakat supaya tahu dan sedar akan nilai Islamik.

“Kalau diikutkan, bukan mudah sebenarnya menghasilkan drama Islamik. Saya perlu merujuk kepada pelbagai pihak dan menerima pelbagai pendapat demi untuk menghasilkan satu produk bagus.

“Saya tidak boleh terlalu menunjukkan unsur pengajaran kerana bimbang peminat tidak tertarik dan perlu mencampur aduk dengan unsur dramatik,” katanya.

Rashid bertanggungjawab mencungkil beberapa nama popular seperti Nasha Aziz, berjaya mencorakkan lakonan Izzue yang sangat berkesan dalam Tok Adi.

“Sayang kerana Izzue sangat bagus dan paling menyerlah. Dia bijak menonjolkan karakte dan ia satu kejayaan bagi bakat baru sepertinya.

“Namun, malangnya masyarakat pula tidak menonton. Peminat sudah kerap disogokkan dengan drama cinta dan apa salahnya mereka sokong drama Islamik pula kerana boleh menjadi pedoman dan tauladan berbanding hiburan semata-mata,” katanya.

Rashid berkata, dia yakin sekiranya diberikan peluang dan pendedahan, tidak mustahil drama-drama Islamik ini mendapat tempat di hati penonton.

“Saya akan terus mengarah dan menerbitkan drama-drama berunsur Islamik dan diharapkan stesen tv terus memberikan peluang dan memperbanyakkan lagi drama-drama berunsur Islamik.

“Saya yakin drama-drama sebegini akan mendapat rating yang tinggi apabila penonton sudah bosan menonton drama-drama genre cinta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 7:54 PM