GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Siti A’isyah Sukaimi


KERAJAAN akan mengkaji cadangan memberikan subsidi gaji dan elaun kepada graduan melalui majikan bagi menggalakkan pengambilan pekerja tempatan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, cadangan itu dikemukan menerusi mesyuarat khas semalam, yang turut membincangkan peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Kita ada cadangan tetapi belum lagi ada keputusan. Justeru, kita akan kaji sama ada kita ada wang cukup atau tidak.

“Sehingga kini, belum ada keputusan berhubung perkara itu walaupun pihak kerajaan sudah menerima cadangan membabitkan usaha berkenaan,” katanya pada sidang media pelancaran Platform Digital e-Dagang Bohai Commodity Exchange (BOCE) Malaysia/ASEAN di Putrajaya, hari ini.

Dr Mahathir berkata, mesyuarat semalam juga membincang masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini.

Katanya, perkara itu berpunca apabila rakyat Malaysia enggan bekerja disebabkan upah tidak begitu tinggi.

“Bagaimanapun jika upah terlalu tinggi, barang kita akan menjadi terlalu mahal sehingga tidak boleh bersaing dengan barangan dari negara lain.

“Oleh itu, terdapat pihak yang mencadangkan jika boleh, kita buat subsidi tidak langsung. Dengan cara itu, gaji pendapatan akan meningkat dan pekerja kita akan bekerja serta tidak bergantung kepada pekerja asing,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap tahun Malaysia mengalami kerugian berbilion tinggi kerana pekerja asing menghantar pendapatan ke negara asal mereka.

“Dalam mana negara pun, sekiranya duit mengalir keluar, kita akan menjadi miskin. Jika mengalir dalam negara, kita menjadi kaya.

“Jadi jika boleh, tidak mahu duit kita mengalir keluar dan jika gunakan pekerja tempatan, duit itu akan berada dalam negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 6:51 PM