SETAKAT 18 September, jumlah subsidi upah diluluskan berjumlah RM11.93 bilion.
SETAKAT 18 September, jumlah subsidi upah diluluskan berjumlah RM11.93 bilion.
Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Kerajaan tidak teragak-agak mengenakan tindakan terhadap majikan tidak bertanggungjawab dan tergamak mengambil kesempatan melalui program subsidi upah di saat kerajaan berusaha membantu perniagaan dan pekerja untuk kelangsungan perniagaan mereka.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan mendapat laporan kira-kira RM500,000 subsidi upah sepatutnya dibayar kepada pekerja diambil oleh majikan.

"Saya ingin menegaskan kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan kepada majikan yang melakukan kesalahan ini," katanya dalam Laporan Laksana ke-23 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) menerusi laman Facebook beliau, di sini, semalam.

Setakat 18 September lalu, jumlah subsidi upah diluluskan kepada majikan di bawah Program Subsidi Upah berjumlah RM11.93 bilion.

Katanya, program pada asalnya untuk tempoh tiga bulan (April, Mei dan Jun) itu dilanjutkan tiga bulan tambahan (Julai, Ogos dan September) dan memanfaatkan lebih 2.6 juta pekerja serta 323,583 majikan.

"Tidak lama lagi (program subsidi upah) dilanjutkan antara tiga hingga enam bulan (bagi pemohon sedia ada dan baharu) di bawah pakej Kita Prihatin," katanya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Program Subsidi Upah 2.0 yang akan memberi manfaat kepada 1.3 juta pekerja membabitkan peruntukan bernilai RM2.4 bilion.

Ia diberikan bagi tempoh tiga bulan pada kadar RM600 sebulan untuk setiap pekerja sehingga maksimum 200 orang

Sementara itu, beliau berkata, ada peningkatan 4,498 individu yang berjaya mendapat pekerjaan di bawah Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan pada minggu ini iaitu 38,186 pekerja berbanding 33,688 pada minggu lalu.

Katanya, jumlah itu merangkumi 29,575 di bawah umur 40 tahun, 4,829 orang bagi golongan berusia di antara 40 hingga 60 tahun, 270 orang kurang upaya (OKU) dan 3,512 perantis.

"Sebanyak RM1.5 bilion telah diperuntukkan untuk program ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 6:58 AM