SEBAHAGIAN ahli persatuan dan peniaga pasar malam  berkumpul membantah, semalam.
SEBAHAGIAN ahli persatuan dan peniaga pasar malam berkumpul membantah, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin


KUALA LUMPUR: Tujuh penjaja pasar malam di Taman Desa Fasa 1, mendakwa proses mendapatkan surat sokongan untuk memperbaharui lesen perniagaan dikendalikan pihak ketiga mengaut keuntungan ‘atas angin’.

Peguam mewakili tujuh penjaja berkenaan Kamarudin Ahmad berkata, anak guamnya dikatakan perlu membayar RM210 kepada sebuah persatuan penjaja bagi mendapatkan surat sokongan berkenaan.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menetapkan bayaran RM57 setahun untuk membaharui lesen. Namun permohonan tidak mempunyai surat sokongan daripada persatuan berkenaan ditolak DBKL.

“Permohonan itu ditolak DBKL atas alasan proses membaharui lesen memerlukan surat sokongan daripada persatuan penjaja.

“Sepatutnya tidak boleh ada pihak ketiga ‘dilantik’ bagi mengendalikan proses berkenaan kerana tidak mempunyai kuasa berbuat demikian (minta wang),” katanya pada sidang media selepas menghantar memorandum kepada DBKL di Menara DBKL, semalam.

Kamarudin berkata, persatuan penjaja terbabit didakwa meminta wang RM210 bagi tujuan sama daripada penjaja di tiga lokasi pasar malam lain iaitu Taman OUG, Kuchai Lama dan Taman Happy Garden.

“Kami tidak menolak kemungkinan ada orang dalam DBKL yang ‘merestui’ tindakan pihak berkenaan menyebabkan mereka berani meminta wang untuk mengeluarkan surat sokongan. Ada beberapa penjaja sudah membuat laporan polis berhubung perkara ini.

“Malah, kami tidak akan teragak-agak untuk melaporkan perkara ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya cara diplomasi dengan menghantar memorandum kepada DBKL tidak berjaya menyelesaikan isu ini,” katanya.

Sementara itu, penjaja di Pasar Malam Taman Desa, Low Kim Hoon, 75, berkata, dia tidak mampu untuk membayar jumlah ditetapkan.

“Bagi saya yang hanya menjual makanan nilai RM210 adalah amat besar kerana hasil jualan tidak banyak, kadar biasa cuma RM57 untuk setahun.

“Apatah lagi dengan kos sara hidup yang tinggi sekarang, saya hanya bergantung kepada pendapatan sebagai penjaja di pasar malam itu sejak 10 tahun lalu.

“Bagaimana saya nak teruskan perniagaan ini jika tiada lesen dikeluarkan pihak berkuasa,” katanya yang juga seorang ibu tunggal.

Seorang lagi penjaja di pasar malam itu, Wong Chi Chun, 48, berkata, dia sudah beberapa kali berunding dengan persatuan penjaja berkenaan untuk mendapatkan surat sokongan namun pihak terbabit memintanya membuat bayaran terlebih dulu.

“Ketika berjumpa dengan pihak persatuan, mereka meminta saya bayar terlebih dulu sebelum mendapatkan cop untuk surat sokongan. Bagi proses membaharui lesen setiap tapak, saya diminta membayar RM210.

“Saya menjual produk kecantikan wanita dan ada empat tapak di pasar malam berkenaan, jadi saya kena bayar RM800. Jumlah itu dianggap besar bagi penjaja kecil macam saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 7:41 AM