ETNIK Rohingya ambil kesempatan berniaga sempadan antara Pasar Borong Kuala Lumpur dan Pasar Harian Selayang, Selangor.
ETNIK Rohingya ambil kesempatan berniaga sempadan antara Pasar Borong Kuala Lumpur dan Pasar Harian Selayang, Selangor.
ANTARA warga asing yang berniaga di kaki lima berhampiran pasar borong Selayang.
ANTARA warga asing yang berniaga di kaki lima berhampiran pasar borong Selayang.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Isu Ali Baba serta kewujudan pihak tertentu yang melindungi warga asing antara punca lambakan penjaja warga asing termasuk di Pasar Borong Kuala Lumpur.

Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya tidak menafikan wujudnya isu Ali Baba membabitkan peniaga warga asing dan tempatan di pasar di sini.

"Ada beberapa faktor menyebabkan masalah ini sukar ditangani termasuk isu Ali Baba yang sudah lama wujud dalam kalangan peniaga yang agak sukar ditangani kerana perbuatan mementingkan diri itu selain kewujudan pihak tertentu yang melindungi warga asing.

"Malah, ada juga peniaga sendiri yang dikesan mengambil warga asing sebagai pekerja sedangkan tindakan itu tidak dibenarkan memandangkan dalam undang-undang jelas menyatakan bahawa tidak boleh mengambil pekerja warga asing di pasar borong," katanya di pejabatnya di Menara DBKL 3, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, terdapat warga asing berkahwin dengan rakyat tempatan, sekali gus membolehkan mereka mendapat 'lesen besar' berniaga di negara ini.

"Kita tidak nafikan memang wujud komuniti warga asing sama ada bekerja atau berniaga di Pasar Borong Kuala Lumpur dan pasar malam di sekitar ibu kota ini.

"Daripada segi peraturan, warga asing sememangnya tidak dibenarkan untuk berniaga atau mengambil mereka bekerja di pasar borong berkenaan.

"Jika di kawasan pasar borong, kebanyakan warga asing yang dikesan adalah etnik Rohingnya, Bangladesh dan Indonesia," katanya.

Azmi berkata, DBKL menerusi Jabatan Penguatkuaasaan sering melakukan tindakan khas tiga kali sebulan dan Operasi Bersepadu sebanyak 12 kali setahun untuk menangani isu peniaga warga asing tanpa lesen.

"Sebanyak 15,724 sitaan barangan milik penjaja warga asing dilakukan di sekitar ibu kota sepanjang tahun lalu.

"Tindakan sitaan diambil terhadap barangan jualan warga asing yang dibuat mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil Perlesenan Penjaja dan Gerai (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 serta Undang-Undang Kecil Pasar (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016.

"Bagi penjaja warga asing yang didapati menjalankan aktiviti menjaja tanpa lesen, tindakan serta-merta dilakukan. Semua barangan yang disita tidak boleh dituntut semula," katanya.

Beliau berkata, DBKL akan meneruskan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan terhadap penjaja warga asing secara berkala di ibu kota dengan mengenal pasti lokasi yang sering dimonopoli mereka.

"Berdasarkan maklumat itu, kami akan salurkan informasi berkaitan penjaja warga asing terbabit kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut.

"Justeru, kami nasihatkan kepada peniaga tempatan supaya tidak memberi lesen 'Ali Baba' kepada warga asing bagi mengekang lambakan penjaja golongan terbabit termasuk di Pasar Borong Kuala Lumpur.

"Pada masa sama, kami mengharapkan kerjasama daripada orang awam supaya menyalurkan maklumat mengenai penjaja warga asing bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap mereka mengikut peruntukan undang-undang," katanya.

Berita berkaitan

Saya datang jual lagi: Lelaki Rohingya pemegang kad UNHCR akui akan berniaga sayur semula walaupun barangan jualan disita

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 1:00 PM