TERESA, gambar fail. FOTO NSTP
TERESA, gambar fail. FOTO NSTP
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Seorang Ahli Parlimen dari blok kerajaan mencadangkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan lesen berniaga harian kepada penjaja bagi mengelak ketirisan terutama isu perkongsian lesen.

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berkata, lesen harian berfungsi menetapkan seseorang penjaja berniaga mengikut hari tertentu dalam seminggu di tapak perniagaan sama.

"Misalnya penjaja A akan berniaga pada Isnin, Rabu dan Sabtu manakala peniaga B berniaga pada Selasa, Khamis dan Jumaat di tapak sama.

"Pengeluaran lesen ini memudahkan pengurusan dan pemantauan pasar pagi oleh pihak DBKL," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Teresa mendakwa, segelintir penjaja pasar pagi dan bermusim berkongsi lesen perniagaan dengan menggunakan satu gerai dengan pihak lain setiap minggu.

"Ramai penjaja pasar pagi mendapat lesen DBKL, tak buka gerai dan berniaga setiap hari.

"Setiap minggu, mereka berkongsi satu gerai dengan ahli keluarga atau kawan mereka dan keadaan ini selalu menimbulkan pergaduhan dalam kalangan peniaga pasar pagi dan sebabkan berlakunya korupsi.

"Ia tak adil bagi peniaga dinafikan hak untuk berniaga di pasar pagi, malah saya difahamkan DBKL enggan membenarkan satu lesen perniagaan dikongsi oleh beberapa peniaga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 7:17 PM