ROSLI (tengah) melihat barangan tiruan yang dirampas.  NSTP/EMAIL.
ROSLI (tengah) melihat barangan tiruan yang dirampas. NSTP/EMAIL.
Norizuan Shamsuddin


KEMENTERIAN Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menahan tiga individu dan merampas pakaian jenama tiruan bernilai RM721,650 hasil serbuan di tiga premis di Jalan Kenanga, Kuala Lumpur, semalam.

Timbalan Pengarah Penguat kuasa (Cawangan Operasi Khas) KPDNHEP Rosli Ahmad berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota daripada KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dengan kerjasama daripada wakil pemilik cap dagang berdaftar, bermula jam 4.30 petang.

“Ketika serbuan dilakukan satu premis didapati tidak berpenghuni, manakala dua lagi mempunyai pemilik dan dua pekerja.

“Ketika pemeriksaan terdapat 28,626 unit barangan tiruan terdiri daripada seluar, baju dan topi berjenama Adidas, Puma, Levis, Nike, Tommy Hilfiger, Gucci dan Burberry.

“Kita juga turut menahan tiga lelaki membabitkan dua pekerja warga Bangladesh dan seorang warga tempatan dipercayai pemilik premis.

“Kami turut menyita satu unit komputer riba dan wang tunai RM5,000 (hasil jualan) serta beberapa dokumen bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Pejabat KPDNHEP WPKL, Kuala Lumpur, hari ini.

Turut Hadir Pengarah KPDNHEP WPKL Ummi Nasrah Othman.

Rosli berkata, hasil soal siasat mendapati barangan tiruan terbabit di bawa masuk daripada China dan Bangladesh.

Katanya, barangan terbabit dijual secara borong untuk pasaran sekitar Lembah Klang, Pahang, Terengganu dan Perak.

“Harga yang dijual antara RM10 hingga RM30 untuk satu unit dan hasil jualan barangan tiruan itu mampu mencecah RM200,000 sebulan.

“Semua suspek berusia 20 hingga 30-an terbabit direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011 kerana memiliki atau menjual barangan yang menggunakan perihal dagangan palsu merujuk kepada cap dagang berdaftar,” katanya.

Rosli berkata, sehingga kini pihaknya sudah menahan 14 pembekal barangan tiruan di sekitar Lembah Klang bermula Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 9:23 PM