PREMIS yang menjual pakaian berjenama tiruan di pusat beli belah di sekitar Klang  diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). FOTO Ihsan KPDNHEP
PREMIS yang menjual pakaian berjenama tiruan di pusat beli belah di sekitar Klang diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). FOTO Ihsan KPDNHEP
Siraj Mohd Zaini


TINDAKAN premis yang menjual pakaian berjenama tiruan di pusat beli belah di sekitar Klang mengundang padah apabila diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), kelmarin.

Operasi berkenaan diadakan selepas risikan serta hasil maklumat wakil syarikat cap dagang jenama Kenzo dan Givenchy yang mengesyaki premis terbabit menjual pakaian tiruan kepada orang ramai.

Pengarah KPDNHEP negeri, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, hasil serbuan itu pihaknya menyita 92 helai baju T dan baju sejuk jenama Kenzo serta Givenchy yang dianggarkan bernilai RM44,750.

Menurutnya, pihaknya turut menahan pemilik serta pengurus premis berkenaan untuk siasatan selanjutnya.

“Dua pekerja sambilan premis juga ditahan dan dibawa balik ke pejabat KPDNHEP untuk direkod keterangan.

“Pemilik dan pengurus premis dihantar ke lokap berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk ditahan reman selama lima hari,” katanya kepada Harian Metro.

Muhamad Zikril berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 kerana membekal atau menawarkan barangan perihal dagangan palsu

“Sabit kesalahan syarikat boleh didenda tidak lebih RM15,000 bagi setiap barangan yang diletakkan perihal dagangan palsu.

“Bagi individu, pesalah boleh didenda tidak lebih RM10,000 bagi setiap barangan,” katanya.

Beliau berkata, peniaga diminta berhenti menjual barangan yang mempunyai perihal dagangan palsu.

“Mereka yang ingin menjual barangan berjenama perlu mendapatkan kebenaran daripada pemilik cap dagang sebelum menjual atau memasarkan barangan itu kepada pengguna,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 12:25 PM