ANGGOTA 4 Rejimen Sempadan (4RS) bersama 120 kilogram (kg) daun ketum yang dirampas di dalam kenderaan yang terbabas dalam longkang di ladang getah berhampiran sempadan di Durian Burung. FOTO Ihsan ATM
ANGGOTA 4 Rejimen Sempadan (4RS) bersama 120 kilogram (kg) daun ketum yang dirampas di dalam kenderaan yang terbabas dalam longkang di ladang getah berhampiran sempadan di Durian Burung. FOTO Ihsan ATM
Noorazura Abdul Rahman


DUA penyeludup daun ketum berdepan detik cemas apabila kenderaan yang dinaiki terbabas ke dalam longkang sebelum melarikan diri selepas bertembung anggota keselamatan di Padang Terap, semalam.

Suspek berusia 30-an itu meloloskan diri di dalam ladang getah di Durian Burung berhampiran sempadan dan terpaksa meninggalkan kenderaan Toyota Unser yang terbenam dalam longkang.

Apabila diperiksa, sebanyak 120 kilogram (kg) daun ketum dianggarkan bernilai lebih RM11,000 ditemukan di dalam kenderaan itu.

Panglima 6 Briged Brigadier Jeneral Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, dalam kejadian 6.30 pagi itu, pasukan ronda 4 Rejimen Sempadan (4RS) yang diketuai Pegawai Waran II Shah Rizan Hassan bersama tiga anggota dan dua anggota polis ternampak kenderaan itu yang terbabas dalam longkang.

“Ketika cuba menghampiri kenderaan itu, pasukan berkenaan melihat dua lelaki dipercayai rakyat tempatan keluar dari kenderaan dan melarikan diri ke dalam semak.

“Pemeriksaan ke dalam kereta itu mendapati terdapat daun ketum yang dibungkus dalam plastik lutsinar. Daun ketum itu kemudiannya dirampas anggota berkenaan.

“Manakala kenderaan ditinggalkan kerana terbenam di dalam longkang, bagaimanapun kunci kenderaan dirampas anggota polis dari Balai Polis Kota Putra,” katanya dalam kenyataan di Padang Terap, hari ini.

Abdul Aziz berkata, pihaknya percaya daun ketum itu akan dibawa ke satu tempat sebelum diambil orang ketiga untuk diseludup ke negara jiran berikutan permintaan dan harga yang tinggi di sana.

Kesemua barang yang dirampas kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 8:36 AM