ANGGOTA ATM bersama tahanan dan daun ketum di Padang Terap, malam tadi. FOTO/IHSAN
ANGGOTA ATM bersama tahanan dan daun ketum di Padang Terap, malam tadi. FOTO/IHSAN
Noorazura Abdul Rahman

CUBAAN tiga lelaki seludup daun ketum seberat 118 kilogram (kg) ke negara jiran, gagal apabila kegiatan mereka dikesan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang melakukan rondaan berhampiran Pos Sahara, Padang Terap, malam tadi.

Panglima 6 Briged, Brig Jen Abdul Aziz Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, pasukan 4 Rejimen Sempadan (4RS) yang sedang melakukan rondaan terserempak tiga motosikal yang ditunggang lelaki tidak dikenali.

“Pasukan rondaan yang diketuai Koperal Md Azizal Awang bersama tiga anggota kemudian mengarahkan penunggang motosikal terbabit berhenti untuk melakukan pemeriksaan.

“Namun, mereka bertindak mencampak bungkusan yang dibawa dan lari meninggalkan motosikal ke dalam semak berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata, pemeriksaan lanjut pada bungkusan itu mendapati terdapat tiga guni berisi daun ketum yang siap diikat dan dibalut dengan plastik lutsinar, dipercayai mahu diseludup ke Thailand.

Katanya, kegiatan penyeludupan di kawasan itu semakin meningkat sejak kebelakangan ini berikutan harga pasaran dan permintaan yang tinggi di negara jiran.

“Kesemua barang rampasan termasuk tiga motosikal diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 3:38 AM