Gambar hiasan
Gambar hiasan
Zanariah Abd Mutalib


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini melancarkan bilik gerakan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan.

Ia bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat dan aduan berkaitan perbuatan rasuah serta salah guna kuasa sepanjang PRK berkenaan.

SPRM memaklumkan, bilik gerakan itu yang beroperasi 24 jam akan ditempatkan di SPRM Negeri Sembilan di alamat Peti Surat 6000, Jalan Dato’ Kelana Ma’amor, 70700 Seremban, Negeri Sembilan.

“Orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang aduan rasuah dan salah guna kuasa melalui emel [email protected] atau menghubungi talian 06-763 9008 atau 013-5180873, faks 06-761 6897,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Selain itu, SPRM turut mengingatkan semua calon dan parti politik yang bertanding agar tidak melakukan aktiviti yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya selaras dengan Akta SPRM 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2012).

PRK DUN Rantau akan diadakan pada 13 April depan, manakala hari penamaan calon, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 12:08 PM