SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR). FOTO Mohd Fadli Hamzah
SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR). FOTO Mohd Fadli Hamzah
Zanariah Abd Mutalib


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menerima surat pemakluman berhubung pembubaran tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, iaitu bagi Pahang, Perlis dan Perak.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata surat pemakluman berkenaan diterima daripada Speaker DUN negeri berkenaan, iaitu bagi Pahang dan Perlis yang bertarikh 14 Oktober serta Perak bertarikh 17 Oktober.

"Justeru, penetapan tarikh penting pilihan raya bagi ketiga-tiga negeri ini akan dibincangkan serentak dalam Mesyuarat Khas SPR yang akan diadakan pada 20 Oktober ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Perak adalah negeri terakhir yang memutuskan untuk membubarkan DUN, hari ini, selepas Pahang dan Perlis, sekali gus akan mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Enam lagi negeri memutuskan untuk tidak membubarkan DUN, termasuk tiga negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Presiden PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan persiapan dilakukan bagi menangani banjir yang dijangka berlaku di tiga negeri terbabit.

Tiga lagi negeri adalah di bawah pentadbiran Pas iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, yang mana Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, turut menyatakan sebab untuk menumpukan kepada persiapan menghadapi musim tengkujuh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 9:22 PM