Pemuda AMANAH akan membuat laporan kepada SPRM berhubung pembelian pangsapuri di London oleh Tok Mat. FOTO Saifullizan Tamadi
Pemuda AMANAH akan membuat laporan kepada SPRM berhubung pembelian pangsapuri di London oleh Tok Mat. FOTO Saifullizan Tamadi
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid


LAPORAN kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dibuat Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sembilan berhubung dakwaan pembelian pangsapuri di London oleh calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan.

Laporan yang akan dibuat jam 10 pagi ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan SPRM terhadap hartanah bernilai RM10 juta yang didakwa milik Mohamad.

Timbalan Ketua Pemuda, Sahrizal Masrudin berkata, laporan itu juga dibuat bagi membolehkan pihaknya mengetahui sumber wang tunai Mohamad yang mampu membeli pangsapuri itu ketika baru empat tahun menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan.

Menurutnya, Mohamad yang bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau membuat pengakuan pemindahan wang tunai itu berlaku bagi membeli hartanah berkenaan 10 tahun lalu.

“SPRM perlu menyiasat kekayaan tunai luar biasa Mohamad yang pada ketika itu dikira masih baru menceburi bidang politik.

“Mohamad juga dicabar untuk mengisytiharkan harta beliau secara keseluruhan sebelum tempoh PRK DUN Rantau tamat,” katanya hari ini.

Mohamad yang sering disapa sebagai Tok Mat menafikan wujud salah guna kuasa dalam isu beliau memindahkan RM10 juta menggunakan pengurup wang kerana isu sama pernah disiasat SPRM.

Beliau juga bersedia untuk disiasat jika terdapat unsur penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 11:54 PM