Mohd Tarmizi (belakang kanan) dan Nazril Hisham Omar (belakang lima kiri) yang diserang ketika mengerjakan solat Jumaat di Christchurch semalam. FOTO Fathil Asri
Mohd Tarmizi (belakang kanan) dan Nazril Hisham Omar (belakang lima kiri) yang diserang ketika mengerjakan solat Jumaat di Christchurch semalam. FOTO Fathil Asri
BERNAMA

TIADA keperluan menyekat perjalanan rakyat negara ini ke New Zealand namun bagi yang berada di sana, mereka diingatkan supaya elak berada di tempat awam buat sementara.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya berkata, terdapat 1,256 rakyat Malaysia di Christchurch dan berikutan insiden keganasan di dua masjid di kawasan itu semalam, langkah berjaga-jaga perlu diambil demi keselamatan masing-masing.

“Jika mereka (rakyat Malaysia di Christchurch) perlukan sebarang bantuan, segera hubungi kedutaan kita di sana dan marilah kita sama-sama doakan agar semuanya selamat di sana,” katanya ditemui ketika melawat keluarga Mohd Tarmizi Shuib di Hutan Kampung, Alor Setar hari ini.

Mohd Tarmizi adalah antara tiga rakyat Malaysia dilaporkan cedera dalam insiden tembakan rambang di dua masjid di Christchurch semalam manakala anaknya dikenali Haziq, 17, masih belum ditemui sehingga kini.

Sementara itu, Marzuki berkata, kementeriannya menambah satu lagi tiket penerbangan ke New Zealand untuk anggota keluarga Mohd Tarmizi bagi membolehkan mereka bertemu dan memberi semangat kepadanya di sana.

“Dua tiket dibiayai kerajaan Kedah dan Pusat Khidmat Parlimen Pokok Sena manakala satu lagi diuruskan pejabat Kementerian Luar dan mereka dijangka bertolak ke New Zealand Selasa ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 6:48 PM