ANGGOTA polis mengiringi tertuduh berusia 32 tahun selepas dijatuhkan hukuman penjara 80 tahun dan 50 sebatan atas pertuduhan merogol anak kandungnya sejak empat tahun lalu di Mahkamah Sesyen Kuching. FOTO Ihsan Sin Chew
ANGGOTA polis mengiringi tertuduh berusia 32 tahun selepas dijatuhkan hukuman penjara 80 tahun dan 50 sebatan atas pertuduhan merogol anak kandungnya sejak empat tahun lalu di Mahkamah Sesyen Kuching. FOTO Ihsan Sin Chew
Garret Dawum


BURUH dihukum penjara 80 tahun dan 50 sebatan di Mahkamah Sesyen Kuching, semalam, atas pertuduhan merogol anak kandungnya sejak empat tahun lalu.

Hakim Mohd Taufik Mohd Yusoff dan Jason Juga membuat keputusan itu selepas tertuduh berusia 32 tahun mengaku salah terhadap lima pertuduhan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan.

Hakim Mohd Taufik memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bagi dua pertuduhan, manakala, Jason memerintahkan hukuman dijalankan secara berasingan bagi tiga pertuduhan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Syarifah Fatimah Azura, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon mengesahkan perkara itu serta memaklumkan hukuman dijalankan bermula dari tarikh ditangkap dan lelaki terbabit akan dihantar ke Penjara Puncak Borneo, di Kuching.

Perbuatan keji dilakukan tertuduh itu terbongkar selepas mangsa yang kini berusia 14 tahun datang ke Klinik Kesihatan Serasot untuk mendapatkan rawatan kerana mengadu demam pada 4 Mac lalu.

Ketika pemeriksaan dilakukan, mangsa turut menceritakan dirinya dirogol oleh bapa kandung yang juga warga Indonesia sejak berusia 10 tahun apabila ibu dan ahli keluarga lain tiada di rumah.

Mangsa kemudian membuat laporan dan susulan itu bapanya ditahan polis di rumah mereka di Kampung Serasot di sini, 4 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 9:00 AM