MUHAINI (kiri) dijatuhi hukuman penjara 22 tahun dan empat sebatan atas kesalahan merogol pelajarnya di Mahkamah Sesyen Kuching, hari ini. FOTO ihsan SIN CHEW.
MUHAINI (kiri) dijatuhi hukuman penjara 22 tahun dan empat sebatan atas kesalahan merogol pelajarnya di Mahkamah Sesyen Kuching, hari ini. FOTO ihsan SIN CHEW.
Garret Dawum


PADAH merogol pelajar sendiri dalam kereta di kawasan letak kereta di hadapan pasar raya di Siburan, dua tahun lalu, seorang guru Matematik dijatuhi hukuman penjara 22 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuching, hari ini.

Keputusan terhadap tertuduh, Muhaini Bojeng, 53, dibuat Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad selepas membuat pertimbangan sewajarnya berdasarkan statistik kekerapan kesalahan seksual terjadi di Sarawak terutama dalam kalangan guru.

Dayang Ellyn Narisa berkata, tertuduh wajar menjadi pembimbing, namun sebaliknya dia menyalahgunakan kedudukannya dan hukuman setimpal harus dijatuhkan untuk mengelakkan perbuatan seumpama itu berulang.

Mengikut pertuduhan, Muhaini didakwa atas dua pertuduhan iaitu mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 376(1) akta sama.

Bagi pertuduhan pertama, dia dijatuhkan hukuman 10 tahun penjara serta dua sebatan dan pertuduhan kedua membawa hukuman 12 tahun penjara serta dua sebatan.

Peguam tertuduh, Wit Malang memohon penggantungan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dengan alasan Muhaini mempunyai penyakit seperti masalah batuk kronik, diabetes dan darah tinggi.

Tambahnya, adalah lebih mudah bagi tertuduh untuk menjalani rawatan di luar berbanding di penjara.

Wit berkata, Muhaini perlu mencari nafkah untuk keluarganya dengan meneruskan kelas tuisyennya kerana mempunyai tanggungan tiga anak masih belajar.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azhari Yusof menyatakan adalah tidak relevan bagi tertuduh untuk memohon penangguhan hukuman dan sekiranya tertuduh mempunyai masalah kesihatan, penjara menyediakan kemudahan seperti ubat-ubatan, doktor dan klinik untuk banduan.

Beliau menjelaskan untuk membenarkan tertuduh kembali semula menjalankan kelas tuisyen adalah tidak wajar kerana tertuduh mungkin akan mengulangi perbuatannya.

Hakim menolak permohonan Wit kerana beranggapan tertuduh tidak layak diberikan penggantungan pelaksanaan hukuman di samping tertuduh gagal mengemukakan sebarang perakuan masalah kesihatan berbentuk sijil atau surat daripada doktor atau pakar.

Muhaini didakwa pada 25 April lalu atas dua pertuduhan merogol pelajarnya sendiri yang berusia 14 tahun ketika itu di lokasi, waktu dan tarikh berbeza.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 8:21 PM