Siti Rohana Idris

[email protected]

KEUNIKAN fizikal burung budgie atau lebih dikenali dengan nama burung baji yang kecil dan comel sememangnya menawan hati pencinta haiwan.

Ia mudah dijinakkan dan bukan itu sahaja, kepelbagaian warnanya juga menarik perhatian ramai hingga menyebabkan ada yang terus jatuh cinta apabila melihatnya.

Faktor itulah juga yang membuatkan kerani, Muhamad Zainudin Awang, 42, tertarik untuk membela burung baji sejak 15 tahun lalu.

Bermula hanya sekadar hobi suka-suka, beliau kini memiliki banyak burung baji pelbagai mutasi.

Muhamad Zainudin berkata, terdapat dua jenis burung baji iaitu biasa dan 'English Budgie' dengan masing-masing ada kelebihan tersendiri.

"Berbeza dengan burung lain, ia juga boleh dikacuk sehingga mampu menghasilkan puluhan mutasi yang berbeza.

"Selain spesies normal, mutasi English Budgie yang ada dibela ketika ini adalah 'Spangle,''Texas Clearbody,''Opaline' dan 'Cinnamon," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pak Pura, Beris Kubor Besar, Bachok, Kelantan.

Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, sejak memelihara burung baji secara serius, beliau tidak ketinggalan menyertai pelbagai pertandingan yang diadakan.

Menariknya, setiap pertandingan yang disertai Muhamad Zainudin, dia biasanya tidak akan pulang dengan tangan kosong.

"Bagaimanapun selepas lebih lima tahun terbabit dengan dunia pertandingan burung baji, saya diberi penghargaan untuk menjadi juri pertandingan.

"Ia menyebabkan saya berhenti menyertai sebarang pertandingan yang dianjurkan dan memberi tumpuan kepada tugas sebagai juri pula," katanya.

KEBERSIHAN kawasan sangkar burung baji perlu sentiasa dijaga.
KEBERSIHAN kawasan sangkar burung baji perlu sentiasa dijaga.

Jelas Muhamad Zainudin lagi, hobi berkenaan juga membawa pendapatan sampingan kepadanya apabila ada pencinta haiwan turut berminat mendapatkan burung baji yang dikacuknya.

Katanya, harga burung baji biasanya bergantung kepada rupa dan keadaan fizikalnya yang cantik, saiz kepala besar serta leher yang labuh.

"Jika seekor burung baji memiliki semua pakej lengkap itu, harganya boleh mencecah sehingga RM3,000 seekor.

"Ini kerana, berbanding jenis biasa, burung baji jenis 'English Budgie' agak rumit penjagaannya dan ia juga lebih sukar dibiak kerana memerlukan kos yang lebih besar.

"Tambahan pula, jenis itu juga mempunyai jangka hidup yang lebih lama iaitu kira-kira 15 tahun," katanya.

Dari segi pemakanan, Muhamad Zainudin berkata, burung bajinya diberi makan sekoi dan bijirin 'canary' selain makanan tambahan (supplement).

"Bagi mempelbagaikan dietnya, saya juga menghasilkan sendiri makanan lembut untuk haiwan berkenaan iaitu menggunakan beberapa pucuk kayu antaranya pudina, kemangi atau daun kunyit yang dicampur dengan telur serta lobak merah.

PELBAGAI jenis burung baji yang sudah dikacuk dibela Muhamad Zainudin.
PELBAGAI jenis burung baji yang sudah dikacuk dibela Muhamad Zainudin.

"Dari segi penjagaan kesihatan pula, burung baji perlu diberi ubat cacing setiap enam bulan sekali dan pemilik juga harus cakna akan kebersihan haiwan terbabit," katanya.

Sementara itu, Muhamad Zainudin menyarankan, bagi yang mula berjinak-jinak untuk membela burung baji, mereka perlu sentiasa peka dengan penyakit yang kerap menjangkiti haiwan berkenaan iaitu tonsil.

Katanya, penyakit tonsil pada burung baji sukar untuk dikesan dan hanya dengan memerhatikan cara burung itu makan sahaja baru boleh diketahui sakit yang dihidapi.

COMEL dan jinak.
COMEL dan jinak.

"Justeru, penjagaan kebersihan perlu sentiasa diutamakan bukan sahaja dari segi fizikal burung itu sendiri tapi juga sangkar dan persekitarannya.

"Ini kerana burung baji bukanlah bersifat liar memandangkan ia sudah dikacuk jadi kawasan habitatnya memang di dalam sangkar sahaja.

"Apapun, sebelum membela burung baji, dapatkan seberapa banyak ilmu dan maklumat berkaitan penjagaannya kerana walaupun ia tidaklah susah tetapi jika tidak dijaga elok, ia boleh menjejaskan kesihatannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 7:00 AM