KAKITANGAN ST dan SESB memeriksa meter elektrik di sebuah kilang kerana disyaki melakukan pengusikan meter elektrik dalam serbuan hari ini. FOTO Edmund Samunting.
KAKITANGAN ST dan SESB memeriksa meter elektrik di sebuah kilang kerana disyaki melakukan pengusikan meter elektrik dalam serbuan hari ini. FOTO Edmund Samunting.
Junaidi Ladjana


TEBUK penutup pada pepasangan meter elektrik bagi mengelak kos bayaran bil elektrik direkodkan dengan bacaan sebenar.

Itulah taktik dilakukan kilang sejuk beku sebelum diserbu sepasukan pegawai dan anggota Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di kawasan industri di Lok Kawi, Penampang, 10 pagi hari ini.

Timbalan Pengarah Perancangan dan Penyelarasan Penguatkuasaan ST, Shafie Mohamad berkata, kilang itu antara lima premis diserbu kerana disyaki melakukan pengusikan pada pepasangan meter elektrik sehingga menyebabkan ia gagal merekodkan bacaan dengan sempurna.

“Hasil serbuan di kilang itu mendapati meter elektrik disyaki diusik dengan cara menebuk meter elektrik untuk tujuan mengusik bacaan sebenar.

“Hasil pemeriksaan mendapati kegiatan itu sudah dilakukan sekurang-kurangnya enam bulan sebelum berjaya dikesan,” katanya ditemui selepas serbuan itu di kilang berkenaan, hari ini.

Menurutnya, selain kilang itu, pihaknya turut menjalankan serbuan di empat lagi premis di sekitar bandar raya Kota Kinabalu termasuk sebuah premis serbaneka.

“Kelima-lima premis ini diserbu kerana disyaki melakukan pengusikan pada pepasangan meter elektrik.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengetahui jumlah sebenar kerugian ditanggung SESB,” katanya.

Beliau berkata, pemilik premis itu boleh didakwa mengikut Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990.

Menurutnya, jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun untuk kesalahan pertama.

Katanya, bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula, denda sehingga RM5 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya pula boleh dikenakan.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan apa-apa pengusikan pada pepasangan meter atau melakukan kegiatan penggunaan elektrik secara curang.

“Ia bukan saja menyalahi undang-undang, malah boleh mengundang bahaya kepada orang ramai apabila aspek keselamatan elektrik diabaikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 8:05 PM