Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen Sungai Petani, semalam membenarkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menuntut bil terkurang caj berjumlah RM502,878 daripada Atlas Edible Ice (Penang) Sdn Bhd kerana mengusik pepasangan meter elektrik di kilang berkenaan hingga mengakibatkan kerugian kepada TNB.

Hakim Zanol Rashid Hussain membenarkan tuntutan TNB selaku plaintif terhadap defendan, kilang perusahaan ais dari tarikh penghakiman dengan kos tindakan dan faedah.

Dalam penghakimannya, TNB berjaya membuktikan terdapat pengusikan pada pepasangan meter elektrik ketika kakitangan TNB melakukan pemeriksaan di kilang berkenaan yang terletak di Taman Kangkong 2, Lunas pada 12 Julai 2011.

TNB diwakili peguam Ong Wee En dan Sarah Hani Rohizam dari Tetuan Lim Huck Aik & Co yang mengemukakan writ saman pada 18 Julai 2016.

Pemeriksaan TNB mendapati wujud pintasan wayar asing iaitu wayar tembaga berpenebat biru yang digunakan untuk memintas arus pendua ketiga-tiga fasa merah, kuning dan biru pada Terminal S1 blok terminal ujian (TTB).

Pengusikan ini menjadikan meter merekodkan jumlah penggunaan elektrik di premis defendan kurang daripada nilai penggunaan sebenar.

Sementara itu, defendan diwakili peguam Ong Kheng Leong dan Muhammad Zaidi Izman Murugan dari Tetuan Ghazi & Lim serta Shahidan Baharom dari Tetuan Ismail Badiuzzaman & Associates.

TNB mengemukakan tiga saksi, manakala defendan dua saksi bagi memberi keterangan sepanjang perbicaraan berlangsung.

Perbicaraan penuh terhadap kes berkenaan diadakan lapan hari pada 12 hingga 13 April, 19 Julai, 13 Ogos, 18 hingga 19 September, 23 Oktober dan 13 November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 3:48 AM