KOMPLEKS Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta.
KOMPLEKS Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta.
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen Butterworth di Pulau Pinang, semalam, membenarkan tuntutan kerugian hasil Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM119,904.97 terhadap seorang penternak udang di Nibong Tebal kerana melakukan pengusikan pada pepasangan meter elektrik.

Dalam penghakimannya, TNB berjaya membuktikan terdapat kesan usikan perintang R96, R97 dan R98 pada litar arus dalam meter yang ditukar nilai asalnya menyebabkan meter tidak merekodkan bacaan sebenar.

TNB selaku plaintif diwakili peguam Ong Wee En dan Sarah Hani Rohizam dari Tetuan Lim Huck Aik & Co yang mengemukakan writ saman pada 9 Mac lalu.

Sementara itu, Khor Lee Pin selaku defendan diwakili peguam Hng Huey Koon daripada Tetuan CP Ang & Co dengan mengemukakan seorang saksi manakala TNB tiga saksi.

Perbicaraan penuh terhadap kes berkenaan diadakan selama dua hari pada 14 dan 29 September lalu.

Sementara itu di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam, Majistret Sara Zuriati Zaharifudin membenarkan tuntutan TNB sebanyak RM62,337.04 dengan kos mengikut skala terhadap LKS Ventures Sdn Bhd yang melakukan pintasan wayar di kedai beralamat Laman Rimbunan Kepong pada Julai 2012.

TNB diwakili peguam Roy Etican, Hong Mei Lan dan Ellie Siew Siu Li dari Tetuan Roy & Co yang mengemukakan writ saman pada 27 Mei tahun lalu.

Sementara itu, defendan diwakili peguam Lai Chee Meng daripada Tetuan CM Lai & Partners dengan mengemukakan seorang saksi manakala TNB enam orang.

Perbicaraan penuh berlangsung tujuh hari pada 11, 12 dan 13 April, 10, 12 dan 13 Julai serta 29 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 7:55 AM