Mohd Elmi (kanan) memeriksa meter di kilang memproses makanan laut di Mersing hari ini. FOTO Mohd Sabran Md Sani
Mohd Elmi (kanan) memeriksa meter di kilang memproses makanan laut di Mersing hari ini. FOTO Mohd Sabran Md Sani
Mohd Sabran Md Sani


SEBUAH kilang memproses makanan laut yang disyaki mencuri bekalan elektrik hingga mencecah RM500,000 diserbu Suruhanjaya Tenaga (ST) di Mersing hari ini.

Tembelang premis itu terbongkar selepas ST menerima aduan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mendakwa kerugian pada jumlah besar angkara usikan meter di premis itu sejak 2016.

Pengarah Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan ST, Mohd Elmi Anas berkata, operasi bersepadu membabitkan 20 pegawai ST dan TNB bagi mengesan pengusikan dilakukan sepanjang tempoh itu.

“Premis memproses makanan laut itu disyaki melakukan pengusikan pada pemasangan meter elektrik sehingga menyebabkan ia gagal merekodkan bacaan dengan sempurna.

“Premis berkenaan didapati melakukan kegiatan itu sejak 2016 hingga mengakibatkan kerugian kira-kira RM500,000 kepada TNB,” katanya pada sidang media di premis itu hari ini.

Mengulas lanjut katanya, TNB menerusi aduannya memaklumkan kilang itu disyaki menggunakan elektrik dengan mencuri dan mengusik pemasangan meter elektrik di premis itu.

“Justeru berdasarkan aduan itu, saya dari ST, TNB membabitkan pasukan sil dan pasukan polis keselamatan menyerbu kilang memproses ikan ini.

“Kita mengesyaki kilang ini sudah menjalankan aktiviti penggunaan elektrik secara curang ini sejak 2016 dan pemeriksaan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

Beliau yang mengetuai operasi itu berkata, jika terdapat bukti, tindakan di bawah Seksyen 37 (1), Seksyen 37 (3) dan Seksyen 37 (14) Akta Bekalan Elektrik 1990 boleh dikenakan.

“Hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun untuk kesalahan pertama dan denda RM5 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kedua,” katanya.

Katanya, orang ramai diingatkan tidak melakukan sebarang kegiatan penggunaan elektrik secara curang atau membuat pengusikan kepada pemasangan meter.

“Ini kerana ia bukan saja menyalahi undang-undang, malah boleh mengundang bahaya kepada orang ramai apabila keselamatan elektrik diabaikan,” katanya.

Katanya, berdasarkan statistik 17 serbuan dilakukan ST di seluruh negara dengan sembilan kertas siasatan sudah dibuka untuk pendakwaan.

Katanya, sejak 2015, 54 kes kertas siasatan dibuka dan di Johor saja dua kes kertas siasatan dibuka dalam tempoh itu selain tambahan satu kes hari ini.

Ditanya punca kecenderungan aktiviti pengusikan itu katanya, kemungkinan besar syarikat terbabit mahu mengurangkan kos operasi.

Sehubungan itu beliau menasihatkan industri menggunakan konsep cekap tenaga menerusi penggunaan peralatan, motor dan lampu LED yang cekap tenaga dan ia lebih baik daripada mengusik meter utiliti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 4:34 PM