LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Iskandar Shah Mohamed


KERAJAAN Selangor menjunjung kasih titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkaitan isu penghinaan terhadap junjungan Rasulullah SAW.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau menzahirkan segenap sokongan dan menggesa semua pihak supaya menginsafi serta akur akan titah baginda.

"Perbuatan menghina keperibadian Rasulullah SAW adalah satu tindakan jelik yang akan menjejaskan keharmonian dan perpaduan di negara ini.

"Justeru saya mengulangi pendirian untuk mengecam sekeras-kerasnya segala bentuk penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW.

"Perbuatan itu harus dihentikan serta merta supaya tidak mendatangkan kejadian tidak diingini sehingga menggugat keharmonian negeri ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kata Amirudin, Sultan Sharafuddin turut mengingatkan umat Islam supaya tidak mencemuh agama dan kepercayaan masyarakat bukan Islam.

"Saya menggesa pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak tidak bertanggungjawab dalam isu berkenaan," katanya.

Semalam, Sultan Sharafuddin selepas berbincang dengan Ahli Dewan Diraja Selangor menzahirkan rasa kecewa dengan sikap segelintir masyarakat bukan Islam yang menghina Rasulullah SAW sejak kebelakangan ini.

Baginda bertitah, kejadian penghinaan terhadap Rasulullah SAW dan isu yang mencemar kesucian Islam kerap berlaku hingga ke tahap mencabar kesabaran umat Islam.

Walaupun perbuatan penghinaan terhadap Rasulullah SAW dan kesucian Islam satu kesalahan di bawah undang-undang dan tindakan serta hukuman sudah dikenakan terhadap mereka yang melakukannya, ia masih tetap berlaku dan seolah-olah tiada kesan terhadap tindakan diambil terhadap golongan itu.

Berita berkaitan

Sultan Selangor kecewa perbuatan hina Nabi SAW

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 12:32 PM