PEGAWAI SIRIM melakukan pemeriksaan kolam ternakan menggunakan teknologi UFAL di waktu malam. FOTO ihsan SIRIM.
PEGAWAI SIRIM melakukan pemeriksaan kolam ternakan menggunakan teknologi UFAL di waktu malam. FOTO ihsan SIRIM.
Mohamad Hussin


INSTITUT Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia Berhad (SIRIM) membangunkan sistem lampu LED tarikan ikan bawah air (UFAL) sebagai alat bantuan mempercepatkan kadar tumbesaran ikan akuakultur selain meningkatkan hasil tangkapan nelayan laut dalam.

Penyelidik Kanan Pusat Perindustrian Inovasi Dalam Sensor SIRIM, Nik Mohd Azmi Nik Abdul Aziz berkata, kitaran tumbesaran ikan menjadi lebih pendek dan seterusnya membantu pengusaha mengurangkan perbelanjaan kos makanan ikan.

“UFAL menghasilkan cahaya berwarna hijau yang mampu menarik plankton, rotifer, anak ikan dan udang untuk berkumpul ke dalam sangkar atau kolam ternakan.

“Ia kemudian akan menjadi makanan semula jadi kepada ikan ternakan dan seterusnya membantu tumbesaran ikan. Lampu ini bertindak sebagai mekanisma menyediakan pencahayaan persekitaran sesuai untuk ikan melihat dan memburu makanan pada waktu malam.

“Daripada segi reka bentuk, lampu berkuasa 30 watt ini cukup ringan dan tahan karat kerana diperbuat hampir 100 peratus daripada polimer.

“Sistem dikuasai bekalan arus ulang alik (AC) atau arus terus (DC) yang dihasilkan melalui sistem solar dan bateri,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini.

Nik Mohd Azmi berkata, untuk memudahkan kerja penyelenggaraan, UFAL dilengkapi dengan ‘nano coating’ yang mampu mengurangkan cengkerang daripada melekat di permukaan lampu itu.

Beliau berkata, UFAL dinyalakan sepanjang malam bermula dari matahari terbenam hingga matahari terbit keesokan harinya.

“Hasil kajian dilakukan mendapati kos operasi sangkar dapat dikurangkan dengan penjimatan ke atas makanan ikan berjaya dikurangkan sebanyak 30 peratus.

“Kadar tumbesaran ikan lebih cepat iaitu meningkat 30 hingga 40 peratus dengan tumbesaran seragam manakala tempoh kitaran pembesaran ikan lebih cepat sebanyak 20 peratus.

“Sebelum ini, untuk satu kilogram (kg) ikan siakap, ia mengambil masa sekurang-kurangnya 12 bulan untuk dijual, dengan penggunaan UFAL ia berjaya disingkatkan ke 10 bulan saja,” katanya.

Beliau berkata, bagi 1kg ikan kerapu, ia dapat disingkatkan ke 12 bulan berbanding 15 bulan selepas penggunaan UFAL dan tempoh kitaran ikan bergantung kepada persekitaran semula jadi sesuatu tempat.

Menurutnya, SIRIM membangunkan kajian peringkat kedua iaitu mengintegrasikan UFAL dengan teknologi Internet-of-Things (IoT) yang membolehkan lampu dihidupkan dan dimatikan secara automatik mengikut jadual.

Katanya, melalui kaedah itu, keseluruhan sistem lebih mudah untuk dioptimumkan penggunaannya bagi menghasilkan produktiviti lebih tinggi dan mewujudkan suasana lebih selesa kepada ikan ternakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 9:14 PM