Mohd Zin Saad (kiri) bersama penternak ikan sangkar, Ariffin Yunus, 73 (kanan) melihat ikan yang mati selepas kolam tercemar air banjir. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohd Zin Saad (kiri) bersama penternak ikan sangkar, Ariffin Yunus, 73 (kanan) melihat ikan yang mati selepas kolam tercemar air banjir. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Tumpat: Seramai 30 penternak ikan di Kelantan rugi kira-kira RM100,000 selepas ternakan mereka mati akibat banjir lalu.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Mohd Zin Saad berkata, pihaknya sudah mengambIl tindakan awal dengan melakukan tinjauan ke lokasi kejadian dan laporan kerugian.

"Pihak kami juga sudah menyerahkan spesimen ikan mati kepada Unit Biosekuriti Perikanan dan analisa air juga kita sudah lakukan.

"Bagi mengurangkan risiko kerugian kepada penternak yang belum terjejas, kita nasihatkan mereka untuk menuai hasil yang sudah mencapai saiz pasaran untuk mengelakkan kerugian yang lebih besar," katanya ketika di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menyumbangkan benih ikan baru kepada penternak terjejas bagi meringankan beban mereka.

Katanya, antara penternak yang kerap terjejas akibat banjir adalah penternak ikan sangkar di Laguna Sri Tujuh berikutan air banjir memasuki kawasan ternakan.

"Masalah ini sudah berlarutan disebabkan kawasan muara yang cetek yang mudah menakung kotoran hingga jejaskan ekosistem ikan sangkar.

"Kita berharap kerja membuka muara Kuala Tujuh oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran dapat dipercepatkan bagi mengurangkan risiko penternak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 2:13 PM