Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: Enggan mengenang nasib dan pendapatan terjejas akibat Covid-19, seorang peniaga kereta terpakai ' beralih angin' menternak ikan sangkar di pinggir Sungai Kelantan sejak Januari lalu bagi menambah perbelanjaan keluarga.

Rohaimin Yusoff, 49, berkata, bagi memulakan penternakan ikan sangkar, dia mengeluarkan modal RM10,000 untuk membina tujuh petak sangkar ikan termasuk kos membeli papan untuk dijadikan rangka sangkar, jaring dan tong plastik bagi mengapungkan sangkar.

Katanya, di peringkat permulaan, dia hanya menternak 2,500 benih ikan patin diperoleh secara percuma daripada Jabatan Perikanan Kuala Krai, namun mengalami kerugian disebabkan semua ikan berkenaan mati di dalam petak sangkar sebelum mencapai tempoh matang.

"Ketika itu, saya tidak mempunyai ilmu mengenai penternakan ikan sangkar. Selepas 2,500 ikan patin itu mati, saya tidak berputus asa, sebaliknya pada Mac lalu menternak 10,000 benih ikan keli bermodalkan RM900 dan dalam tempoh beberapa bulan turut menambah pelbagai spesies ikan secara berperingkat.

"Sehingga kini, saya mempunyai lebih 100,000 ikan patin, tilapia keli, baung dan lapang yang ditempatkan di dalam 35 petak sangkar.

Rohaimin Yusoff menunjukkan ikan keli yang sudah matang dan boleh dijual kepada peniaga kedai makan dan restoran di sekitar Kuala Krai. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Rohaimin Yusoff menunjukkan ikan keli yang sudah matang dan boleh dijual kepada peniaga kedai makan dan restoran di sekitar Kuala Krai. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI

"Setiap petak sangkar boleh memuatkan antara 1,000 hingga 3,000 ikan pada satu masa dan jika terlebih ia boleh menyebabkan ikan stres, jaring koyak selain ikan terlepas," katanya ketika ditemui di sangkar ikan miliknya di Kampung Batu Lada, di sini, hari ini.

Bapa kepada 13 anak berusia tiga bulan hingga 26 tahun ini berkata, dia mendapatkan tunjuk ajar daripada orang lebih berpengalaman selain merujuk kepada YouTube, sekali gus dapat menjana pendapatan.

Menurutnya, buat masa ini, hanya ikan keli sudah mencapai tempoh matang, manakala ikan lain belum matang dan mungkin boleh dijual sama ada pada Disember ini atau awal tahun hadapan.

"Pada setiap hari, saya mengeluarkan 50 kilogram (kg) ikan keli daripada petak sangkar untuk memenuhi permintaan peniaga kedai makan dan restoran di sekitar Kuala Krai yang dijual pada harga RM7 sekilogram.

"Alhamdulillah penternakan ikan sangkar memberi pulangan lumayan dan setiap bulan mampu memperoleh pendapatan lebih RM10,000," katanya yang dibantu tiga pekerja.

Menurutnya, dalam sebulan dia perlu membelanjakan lebih RM2,000 untuk membeli makanan ikan yang akan diberikan dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang.

Katanya, menternak benih ikan agak mencabar kerana faktor alam semula jadi mampu memberi kesan kepada jumlah dan kualiti ternakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 1:59 PM