DR Wan Azizah bersama Calon PH, Muhammad Aiman Zainali beramah mesra bersama penduduk ketika Program Gotong-Royong Perdana 2019 di perkarangan surau Bandar Rinching Seksyen 6. FOTO Asyraf Hamzah
DR Wan Azizah bersama Calon PH, Muhammad Aiman Zainali beramah mesra bersama penduduk ketika Program Gotong-Royong Perdana 2019 di perkarangan surau Bandar Rinching Seksyen 6. FOTO Asyraf Hamzah
Rizanizam Abdul Hamid


DAKWAAN mengatakan PKR dan DAP tidak membantu kempen calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih disifatkan sebagai tidak logik.

Presiden Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata, dakwaan termasuk mengatakan PH tidak seharusnya menyalahkan PAS sekiranya BERSATU tewas pada PRK kali ini tidak sepatutnya timbul kerana mereka bekerja sebagai satu parti di bawah PH.

“Tak nampak dia punya logik (salahkan PAS). Ye lah (PKR, DAP dan BERSATU) kerja (bersama) macam mana pun.

“Kita harap pengundi akan undi kita. Jentera PKR bantu 100 peratus kerana kita adalah Pakatan Harapan,” kata Timbalan Perdana Menteri ketika ditemui media pada Program Gotong-Royong Perdana di Bandar Rinching Seksyen 6, hari ini.

Semalam Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta PH tidak salahkan PAS jika BERSATU kalah di Semenyih kerana PKR dan DAP tak turun kerja.

Ahli Parlimen Marang itu melahirkan kebimbangan parti yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu bakal tumbang di PRK ini kerana tidak mendapat bantuan daripada parti komponen lain.

“Kita (PAS) bimbang PRK Semenyih ini BERSATU kalah kerana PKR dan DAP tak kerja.

“Jangan salahkan kita, kita nampak DAP dan PKR tidak turun bersungguh-sungguh,” katanya semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 11:10 AM