ANNUAR. FOTO Arkib NSTP
ANNUAR. FOTO Arkib NSTP
Hairulazim Mahmud


BARISAN Nasional (BN) mengaku bukan tugas mudah untuk ‘menjinakkan’ Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, 2 Mac ini.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, penyandang kerusi iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menang dengan majoriti besar iaitu hampir 9,000 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, dengan kelebihan PH sebagai kerajaan yang memerintah.

“Namun, ia bukan mustahil untuk menang apabila rakyat mula sepakat kerana tewasnya calon BERSATU di Semenyih adalah kemenangan buat kita semua dan permulaan kepada perubahan sebenar.

“Ini adalah pilihan raya kecil dengan mesej yang besar. Semenyih adalah referendum rakyat, insya-Allah,” katanya melalui status terkini laman sosial Facebook peribadinya.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, dari PH, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada PRU-14, Bakhtiar menewaskan penyandang Datuk Johan Abdul Aziz (BN) serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bakhtiar mengalahkan Johan yang menjadi wakil rakyat di kawasan itu selama dua penggal dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.

PSM pula dijangka masih berminat untuk bertanding pada PRK kali ini.

Dalam pada itu Annuar berkata, PRK Semenyih adalah peluang referendum untuk membuktikan kekecewaan rakyat kepada kerajaan.

Katanya, ia juga adalah ujian bagi membuktikan parti mana yang didokong orang Melayu.

“Untuk membuktikan kini parti mana mendapat dokongan umat Melayu UMNO dan PAS atau BERSATU dan DAP,” katanya.

Katanya, kurangnya majoriti atau kekalahan BERSATU di tangan UMNO yang diikat kaki dan tangan, boleh menjadi pukulan maut buat mereka.

“Justeru tewasnya PPBM adalah penting bagi semua termasuk rakyat, gagasan pembangkang malah kepada DAP dan PKR juga,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 7:09 PM