AHLI Parti Pakatan Harapan (PH) memasang bendera parti di sekitar Kampung Pasir Baru Semenyih, semalam sempena PRK Semenyih. FOTO Bernama
AHLI Parti Pakatan Harapan (PH) memasang bendera parti di sekitar Kampung Pasir Baru Semenyih, semalam sempena PRK Semenyih. FOTO Bernama
Rizanizam Abdul Hamid


PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan turun padang bagi membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, 28 Februari ini.

Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kehadiran Pengerusi PH itu juga mungkin akan memberikan penjelasan terperinci berhubung kemelut PAS dan UMNO baru-baru ini.

Menurutnya hanya Dr Mahathir yang mengetahui apakah maksud pengakuan PAS untuk tidak menyokong UMNO.

“Saya tak tahu apa yang sebenarnya dari segi pertemuan itu. Saya tak ada keistimewaan untuk tahu dan pastinya yang lebih mengetahui adalah Tun (Dr Mahathir).

“Saya fikir Tun akan hadir pada 28 hari bulan mungkin beliau akan jelaskan lebih terperinci tapi saya yakin Tun bukanlah (beri) kenyataan yang direka.

“Tapi bila sudah timbul begini PAS sudah rasa terperangkap dan bila terperangkap macam biasalah dia boleh bohong kata tidak (begitu), nafikan itu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program sembang santai bersama penduduk di Pekan Beranang, hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin menafikan tidak akan menyokong UMNO dalam PRK DUN Semenyih seperti didakwa Perdana Menteri.

Beliau sebaliknya berkata, PAS tetap menyokong UMNO, namun tahap komitmen serta kadar pembabitan parti itu berbeza keadaannya dengan dilakukan parti itu pada PRK Parlimen Cameron Highlands lalu.

Sabtu lalu, Perdana Menteri mendedahkan PAS tidak akan menyokong UMNO pada PRK DUN Semenyih.

Beliau berkata demkian ketika ditanya inti pati pertemuannya dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Yayasan Al-Bukhary di Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, rakyat seharusnya boleh menilai apabila PAS berkata di PRK DUN Semenyih ini tak sama dengan PRK Parlimen Cameron Highlands.

“Makna di Cameron Highlands dia sokong UMNO maknanya apa di Semenyih? Dia kata tak sama seperti di Cameron Highlands maknanya tak sokonglah atau sokong sikit-sikit.

“Rakyat nak tahu (patut) cakap satu naratif sahaja, ya atau tidak. Rakyat boleh ukur parti itu betul ke tidak,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 9:50 PM