NAJIB. FOTO Arkib NSTP
NAJIB. FOTO Arkib NSTP
Idris Musa


TINDAKAN Naib Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memetik nama Allahyarham Tun Razak dalam ceramah beliau tidak disenangi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Kenapa dengan Azmin ini. Baru-baru ini, dia cabar saya ke Semenyih, maka malam itu juga, saya pun pergi beli sedikit barang dari Tesco.

“Tapi nampaknya dia masih tak puas hati. Tanpa sebarang sebab, dia tiba-tiba petik nama Allahyarham ayahanda saya untuk menyerang saya.

“Saya fikir tak payahlah Azmin melampau hingga menyentuh tentang keluarga saya. Ayah saya sudah meninggal lebih 43 tahun dahulu. Jangan diusik lagi,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Azmin dalam ceramah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, kelmarin, dilaporkan membidas kritikan Najib yang mendakwa kegagalan Pakatan Harapan (PH) menjaga legasi bapanya, Tun Razak.

Menurut Azmin, PH nyata mendukung amanat Tun Razak agar terus menjaga peneroka FELDA.

“Datang anak dia, pergi swastakan FELDA. Sebab itu kalau Almarhum Tun Razak boleh bangun (dari kubur) dia cekik anak dia,” katanya seperti dipetik.

Najib bagaimanapun berkata, beliau bimbang bahawa menteri yang kononnya menjaga FELDA seperti langsung tidak faham isu berkenaan kerana FELDA tidak diswastakan.

“Dia tuduh saya swastakan FELDA kepada FGV (Felda Global Ventures). Sebenarnya, FELDA dan FGV adalah dua entiti berlainan. FELDA tetap FELDA. Tanah FELDA dan tanah peneroka tetap tanah mereka.

“FGV ialah anak syarikat FELDA. FGV bukan FELDA atau sebaliknya. Cuma FELDA ada perjanjian untuk menyewa sebahagian tanah mereka kepada FGV.

Perjanjian ini dipanggil ‘Land Lease Agreement’.

“FGV kena bayar FELDA RM250 juta setiap tahun serta 15 peratus daripada keuntungan tahunan FGV untuk menyewa tanah ini. Oleh itu, FELDA bukan diswastakan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 2:07 PM