Muhaamad Hafis Nawawi


TINDAKAN remaja perempuan menendang lelaki botak yang ingin menyentuhnya ketika menceroboh rumah di Taman Sri Tanjung, Sungai Petani, Isnin lalu, menyelamatkan mangsa selepas suspek melarikan diri.

Dalam kejadian 4.45 pagi itu, mangsa yang tidur di biliknya terkejut apabila tersedar seorang lelaki ingin menyentuhnya dan terus menepis tangan suspek.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, suspek kemudian keluar dari bilik sebelum masuk semula sambil mengacu pisau ke arah mangsa.

Menurutnya, mangsa terus menendang suspek sehingga terjatuh dan menjerit meminta pertolongan sehingga disedari ibunya berusia 50 tahun.

“Ibunya berlari ke bilik mangsa dan melihat dia sedang menangis ketakutan.

“Ketika kejadian seorang lagi anak lelaki yang sedang tidur di ruang tamu turut terjaga dan menyedari suspek melarikan diri namun tidak sempat berbuat apa-apa kerana kejadian itu terlalu pantas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adzli berkata, ibu mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani untuk tindakan selanjutnya.

“Pemeriksaan di dalam bilik mangsa mendapati tiga keping cermin tingkap dicabut dan menemui dua batang besi cermin tingkap dibengkokkan.

“Suspek sempat mengambil kunci pendua yang disimpan di dalam beg sekolah mangsa,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 451 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 9:41 AM