PETIKAN video tular menunjukkan seorang wanita merosakkan kereta.
PETIKAN video tular menunjukkan seorang wanita merosakkan kereta.
Raja Noraina Raja Rahim


Ampang: Bukan saja mencalarkan kenderaan tetapi cermin sisi turut dipatahkan dan ekzos dibengkokkan.

Perbuatan pelik yang dilakukan seorang wanita terhadap kereta ejen hartanah dirakam penduduk di Pandan Indah di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa yang juga wanita berusia 21 tahun mendakwa meletakkan kereta di hadapan pejabatnya dalam keadaan baik, pada 2 petang.

"Ketika hendak pulang daripada kerja pada 6.50 petang, mangsa mendapati kereta dibeli bapanya dicalarkan, kedua-dua cermin sisi dan wiper patah, selain ekzos bengkok serta dilitupi dengan span tilam.

"Kerosakan itu dipercayai dilakukan seorang wanita tempatan berbaju merah. Terdapat satu video oleh seorang penduduk yang merakamkan kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan kejadian itu, beliau berkata, mangsa yang mengalami kerugian lebih RM1,000 tampil membuat laporan polis.

"Siasatan awal, mangsa mendakwa tidak mempunyai masalah dengan sesiapa," katanya.

Katanya, polis sedang mengesan suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Mohamad Farouk meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil untuk membantu siasatan.

Terdahulu, video berdurasi 49 saat yang dirakam saksi menunjukkan seorang wanita sedang mematahkan cermin sisi, tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 2:28 PM