WANITA cedera di tangan ditetak seorang daripada empat penyamun yang memecah masuk rumahnya di Kampung Pilin. FOTO Ihsan Pembaca.
WANITA cedera di tangan ditetak seorang daripada empat penyamun yang memecah masuk rumahnya di Kampung Pilin. FOTO Ihsan Pembaca.
Ahmad Hasbi


Rembau: Sekeluarga di Kampung Pilin, di sini berdepan detik cemas apabila rumah mereka dimasuki empat penyamun, semalam.

Bagaimanapun keberanian seorang ahli keluarga itu bergelut dengan suspek yang bersenjata, membantutkan niat kumpulan berkenaan menyamun dan mereka melarikan diri dengan tangan kosong.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, mangsa wanita berusia 30 tahun itu cedera tangan kiri dipercayai ditetak, dan menerima sembilan jahitan.

"Ketika kejadian kira-kira 5 pagi, keluarga itu sedang tidur sebelum dua suspek mengarahkan ibu mangsa berusia 58 tahun dan adik lelakinya keluar dari bilik tidur utama ke ruang tamu.

"Ketika seorang suspek cuba mengikat adik lelaki mangsa, dia menjerit kepada kakak dan abang ipar yang tidur di bilik hadapan supaya tidak keluar," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Namun Hazri berkata, jeritan itu menyebabkan wanita berkenaan keluar bilik dan bergelut dengan suspek hingga mengalami kecederaan di tangan kiri.

"Dalam masa sama, adiknya turut bangun dan melawan seorang daripada suspek. Suami wanita itu turut masuk campur menyebabkan suspek yang lain melarikan diri," katanya.

Menurutnya, suspek yang bergelut dengan adil lelaki mangsa hampir ditangkap, namun sempat melepaskan diri selepas mengugut mahu menembak mereka.

"Bagaimanapun beg milik suspek terjatuh dan identitinya sudah dikenal pasti," katanya.

Beliau berkata, empat suspek itu dipercayai warga Indonesia dan usaha memburu mereka sedang giat dilakukan, selain mereka dipercayai terbabit kejadian samun lain.

"Siasatan mendapati suspek memecah masuk dengan membuka cermin tingkap nako dan memotong jeriji tingkap di ruang tamu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 7:11 PM