GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


WANITA ditahan selepas memecah masuk sebuah rumah di Kampung Pengkalan Langgar, Merbok, dekat Sungai Petani, kelmarin.

Pada kejadian 7 malam itu, suspek berusia 24 tahun terbabit ditangkap oleh penghuni rumah sebelum diberkas semula oleh polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, suspek memecah masuk kediaman itu ketika penghuninya tiada di rumah.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, keluarga terbabit pulang, menyebabkan suspek bersembunyi di belakang pintu bilik air di rumah itu.

“Suami meminta isteri dan anaknya masuk ke rumah, sementara dia memberi makan haiwan peliharaan.

“Bagaimanapun, tidak lama kemudian isteri mangsa memberitahu terdapat seseorang di dalam bilik air di bilik tidur utama rumah mereka,” katanya.

Beliau berkata, lelaki terbabit membuat pemeriksaan dan mengarahkan suspek keluar dari bilik air.

“Bagaimanapun, secara tiba-tiba suspek meluru keluar sambil mengacukan parang.

“Bimbang kejadian tidak diingini, mangsa meminta bantuan anak lelakinya mengambil batang paip sebelum anaknya terus memukul tangan suspek.

“Ia menyebabkan suspek terlepas parang dari tangannya,” katanya.

Adzli berkata, lelaki itu dan anaknya kemudian cuba menangkap suspek menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka.

“Ketika pergelutan itu juga, lelaki terbabit terlihat telefon bimbitnya yang hilang pada Sabtu lalu terjatuh dari poket seluar suspek.

“Sebaik dapat menangkap suspek, dia terus mengikat kaki dan tangan menggunakan tali sebelum isterinya menghubungi polis,” katanya.

Difahamkan, rumah mangsa sudah lima kali dipecah masuk, namun ini kali pertama suspek dapat ditahan.

“Polis menahan suspek dan membawanya ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan sebelum ditahan di lokap polis Gurun.

“Suspek direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 3:56 PM