Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Dua penjenayah berpura-pura mahu melakukan urusan insuran di sebuah premis insuran di Taman Intan, di sini, sebelum menyamun pekerja dalam kejadian Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, dua suspek bersenjatakan sebilah pisau itu menunggang sebuah motosikal.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, ketika kejadian, terdapat seorang pekerja wanita berusia 50 tahun berada dalam premis itu.

Beliau berkata, seorang suspek menunggu di motosikal manakala rakannya masuk ke dalam premis dan mengeluarkan sesuatu dari poket serta menyembur ke muka mangsa.

"Suspek turut mengeluarkan sebilah pisau dan meminta mangsa menyerahkan wang.

"Akibat ketakutan, mangsa menyerahkan wang sebanyak RM200 kepada suspek. Suspek turut menendang pintu kaca premis terbabit untuk melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adzli berkata, ketika kejadian, hanya mangsa seorang diri bekerja di premis berkenaan.

Beliau berkata, kejadian itu sempat dirakamkan oleh kamera rakaman litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan.

"Hasil semakan CCTV mendapati suspek yang masuk ke dalam kedai memakai pelitup muka, topi keledar biru dan bertutup.

"Suspek turut menyembur sesuatu di muka pengadu dipercayai 'pepper spray' dan suspek turut mengacukan sebilah pisau ke arah pengadu dengan memaksa pengadu menyerahkan wang," katanya.

Adzli berkata, bagaimanapun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/396 Kanun Keseksaan.

"Setakat ini tiada tangkapan dilakukan dan siasatan masih dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 8:05 PM
RAKAMAN CCTV menunjukkan kejadian samun membabitkan dua lelaki bersenjatakan pisau di sebuah premis insuran di Taman Intan. FOTO ihsan polis
RAKAMAN CCTV menunjukkan kejadian samun membabitkan dua lelaki bersenjatakan pisau di sebuah premis insuran di Taman Intan. FOTO ihsan polis