KHAIRY Jamaluddin. FOTO Zunnur Al Shafiq.
KHAIRY Jamaluddin. FOTO Zunnur Al Shafiq.
Idris Musa


ADA atlet negara tidak disambung kontrak dan bersara pada usia muda sehingga terpaksa menjual jambu di tepi jalan, kata bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Malah, beliau berkata, ada yang menjalankan perniagaan gunting rambut walaupun pernah menyumbang pingat emas di peringkat antarabangsa.

“Bercakap tentang sukan, sepanjang tempoh awal 2019 ini pelbagai rungutan daripada atlet dan badan sukan telah kita dengar disebabkan peruntukan kewangan dipotong.

“Ada atlet perlu menampung sendiri kos latihan termasuklah membayar sendiri jurulatih mereka.

“Latihan luar negara ada yang tidak diluluskan. Elaun sara hidup atlet telah dikurangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan hari ini, susulan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan harapan bagi Malaysia untuk kembali menganjurkan semula perlumbaan Grand Prix Formula Satu (F1).

Semalam, Perdana Menteri dilaporkan berkata, beliau berharap F1 akan kembali (ke Malaysia) suatu hari nanti.

Beliau mengakui bahawa idea membina Litar Antarabangsa Sepang (SIC) membuka jalan bagi pembangunan bakat tempatan dan pemindahan teknologi dalam sukan permotoran.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, kenyataan dibuat Perdana Menteri itu menimbulkan banyak persoalan dan tanda tanya.

Ini kerana, katanya, Malaysia tidak melanjutkan kontrak penganjuran perlumbaan F1 selepas perlumbaan kali terakhir pada 2017 atas faktor kos tinggi iaitu antara RM200 juta hingga RM300 juta setahun manakala pulangan terus menurun saban tahun.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sering melaungkan tentang hutang negara tinggi sehingga banyak peruntukan kerajaan terpaksa dipotong.

“Rakyat telah diminta untuk memahami ‘masalah’ dihadapi kerajaan dan kononnya kerajaan memerlukan masa sehingga tiga tahun untuk memulihkan semula keadaan ekonomi negara,” katanya.

Justeru, katanya, sebelum terlintas fikiran untuk menganjurkan semula perlumbaan F1, lebih baik kerajaan terlebih dahulu menyatakan hala tuju serta pelan pembangunan sukan masih belum kelihatan.

“Tangani terlebih dahulu masalah dihadapi atlet dan badan sukan di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 5:07 PM