KHAIRI lega dengan peruntukan kerajaan dalam bidang sukan. FOTO/OWEE AH CHUN
KHAIRI lega dengan peruntukan kerajaan dalam bidang sukan. FOTO/OWEE AH CHUN
Jumiati Rosly


KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN), Dr Khairi Zawi menyatakan peruntukan RM1 bilion terhadap sukan dalam Bajet 2018 adalah yang terbesar diberikan khusus buat pembangunan sukan tanah air.

“Peruntukan itu menjadi penanda aras betapa prihatinnya kerajaan terhadap sukan di negara ini. Kejayaan sukan menerusi program yang dijalankan sebelum ini nampaknya membuahkan hasil dan ini bererti kerajaan sentiasa memantau perkembangan sukan,” katanya.

Dalam pembentangan Bajet 2018 hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan RM1 bilion diperuntukkan bagi melaksanakan program FitMalaysia, Hari Sukan Negara, latihan atlet, program akar umbi dan program pembangunan bola sepak negara bagi menjadikan Malaysia sebagai negara kuasa sukan.

Dr Khairi berkata, peruntukan itu juga selari dalam persiapan negara menghadapi dua temasya besar tahun depan iaitu Sukan Komanwel Gold Coast dan Sukan Asia Indonesia.

“Permohonan kami bagi perbelanjaan tahun depan sebenarnya satu pertiga daripada apa yang diberikan Perdana Menteri (RM1 bilion) dan permohonan itu merangkumi program pembangunan, kos operasi dan termasuklah pelaburan teknologi tinggi.

“Dengan jumlah yang diberikan kepada sukan, ini bermakna kami boleh ‘bernafas lega’ bagi menjalankan perancangan yang dilakukan,” katanya yang berpuas hati dengan bajet itu.

Beliau berharap keputusan membanggakan dapat dihasilkan menerusi peruntukan itu nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 9:46 PM